Trak vaksin bergerak bantu percepat vaksinasi

LANGKAH PROAKTIF… Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Kamariah Said menemani ibunya Raja Rosiah Syed Noor, 78, untuk vaksinasi ketika tinjauan pelaksanaan Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Seramai 1,000 penduduk projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini semalam menerima vaksin menerusi projek rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti yang berkepadatan tinggi. 

“Program hari ini memberi keutamaan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan dibantu jawatankuasa penduduk dan kemudiannya diselaraskan dalam aplikasi MySejahtera. 

“Ini adalah langkah proaktif untuk merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus membolehkan warga Wilayah Persekutuan mendapatkan vaksin dengan cepat,” katanya, kepada pemberita selepas meninjau projek rintis itu semalam. 

Annuar berkata, pengenalan projek rintis itu bertujuan menguji dahulu serta melihat sejauh mana kapasiti yang dapat dilaksanakan kelak. 

Annuar berkata, projek rintis itu juga bertujuan membawakan vaksin kepada rakyat agar mereka tidak perlu melakukan perjalanan dan menunggu terlalu lama.

“Kami menjangkakan selepas mendapat kelulusan, operasi trak bergerak pada 15 Jun ini adalah 10 buah dan Julai pula kami akan menggerakkan 39 trak secara serentak. 

“Ini berikutan di bawah sistem ini, kapasiti untuk membantu mempercepatkan sehingga 15,000 hingga 20,000 suntikan sehari di Wilayah Persekutuan,” katanya. 

Inisiatif Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah yang akan dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini berupaya memberi suntikan vaksin Covid-19 antara 15,000 hingga 20,000 dos sehari kepada warga Wilayah Persekutuan.

Ia antara empat langkah yang sedang dan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memastikan Wilayah Persekutuan mencapai imuniti kelompok lebih awal, iaitu menjelang akhir Ogos atau awal September ini.

— Bernama