Penembusan Terowong Dungun, 6 bulan lebih awal

TEROWONG Dungun di Terengganu merangkumi 871 meter panjang.

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi pencapaian dengan penembusan terowong tunggal ECRL enam bulan lebih awal daripada jadual asal iaitu Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kerja-kerja keseluruhan infrastruktur untuk terowong itu dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022, lebih awal daripada jadual tanpa mengambil kira sebarang situasi luar jangka.

“Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal daripada jadual iaitu 22.62 peratus pada Mei 2021 walaupun dalam keadaan pandemik yang telah mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini. 

MRL berkata kerja-kerja penggalian bagi Terowong Dungun telah mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, manakala lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

 Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun, katanya sambil menambah negeri Terengganu akan mempunyai lima buah terowong ECRL apabila projek siap kelak.

Mohd Zuki berkata projek ECRL mempunyai 58 buah terowong dengan panjang dan landskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang seksyen-seksyen jajaran ECRL yang merangkumi 665 km panjang.

Beliau turut menjangka kerjasama padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja-kerja penggalian terowong dan memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti yang dijadualkan atau lebih awal daripada jadual.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor EPCC.

Dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665 km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa empat jam.

– Bernama