Pilihan raya di Mexico semakin tegang

TURUN MENGUNDI… Orang ramai berbaris menunggu giliran ma- sing-masing untuk mengundi sementara pegawai penguatkuasa memerhati proses pengundian itu. • Foto AFP

MEXICO: Rakyat Mexico pada Ahad lepas telah menghadirkan diri pada pilihan raya pertengahan negara, dengan jumlah undi pada awalnya menunjukkan parti Gerakan Regenerasi Nasional (Morena) Presiden Andres Manuel Lopez Obrador sebagai pemenang.

Setakat ini, pihak penguatkuasa pilihan raya telah melaporkan sejumlah 10,548,094 undi, dengan parti pemerintah Morena menyumbang sebanyak 35 peratus atau 3,710,880, lapor Anadolu Agency (AA).

Mereka memimpin di Dewan Perwakilan rendah dan lapan pemerintahan negara seperti yang dilaporkan presiden parti, Mario Delgado.

“Maklumat tersebut memberitahu bahawa rakyat memiliki majoriti di Dewan Deputi. Kami mengesahkan bahawa Morena sekali lagi menjadi pemimpin bagi politik terkemuka di negara ini. Ia jelas bahawa di Mexico, terdapat suara majoriti daripada rakyatnya, “kata Delgado.

Parti politik daripada pembangkang Parti Tindakan Nasional (PAN) dan Parti Revolusi Institusi (PRI) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Menurut tinjauan keluar media seperti surat khabar El Financiero, niat mengundi cenderung ke arah parti Morena dan sekutunya, dengan 47 peratus pilihan, berbeza dengan kumpulan pembangkang yang terdiri dari PRI, PAN dan Parti Revolusi Demokratik (PRD), yang melaporkan pilihan 44 peratus.

Undian akhir akan menentukan struktur politik negara selama tiga tahun pemerintahan Presiden Lopez Obrador yang tersisa. Dengan kawalan Kongres yang dipertikaikan, keputusan pilihan raya sangat penting untuk agenda Lopez Obrador untuk negara ini.

Namun begitu, wujud ketegangan yang melanda parti politik di Mexico kini di mana pasukan bersenjata dikerah mengawal proses pilihan raya Mexico di kawasan pergunungan Guerrero semalam, selepas lapan pemimpin politik dibunuh di wilayah itu.

Wanita asli Nahua, Francisca Alvarido, 41, menceritakan bagaimana kekacauan dihadapi penduduk di komuniti perbandaran Chilapa angkara kumpulan penjenayah.

“Polis ada di sana. Mereka tidak turun ke sini,” katanya dengan tenang sambil menunjuk ke arah kampung di pergunungan.

Seorang lelaki yang keluar dari pusat pengundian dan enggan dikenali, turut berkongsi mengenai ketakutan melanda wilayah itu.

“Ancaman ada di mana-mana. Ia amat mengerikan… tiada apa yang dihormati di sini, semuanya sangat sukar,” katanya.

Guerrero, antara negeri paling ganas kerana sering berlaku pertempuran antara kumpulan penjenayah membabitkan perdagangan dadah seperti candu dan ganja.

Menurut dokumen daripada Institut Pilihan Raya Guerrero sekurang-kurangnya empat calon di Chilapa meminta perlindungan daripada pasukan keselamatan kerana menerima ancaman bunuh.

Lebih 90 ahli politik terbunuh di seluruh negara sejak proses pemilihan bermula September tahun lalu.

Kerajaan Mexico menyalahkan keganasan politik terhadap pengedar dadah yang berusaha mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Anggota jenayah terancang memecahbelahkan rakyat.. mereka tidak membiarkan orang ramai memilih secara bebas,” kata Ketua Polis bagi komuniti Alcozacan Isaias Posotema.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador meyakinkan orang Mexico bahawa keselamatan terjamin pada hari pilihan raya, bagaimanpun ketegangan semakin meningkat.

Sementara itu di Tijuana, seorang lelaki melemparkan bungkusan mengandungi kepala manusia di sebuah pusat pengundian di kejiranan Terrazas del Valle di sempadan Mexico pada hari mengundi.

Pihak berkuasa tempatan berkata, lelaki itu cuba melarikan diri tetapi tidak menyatakan sama ada dia ditangkap.

Katanya, mereka juga menemui beg plastik dengan mayat manusia dan tangan yang terputus di lokasi berdekatan.

Kira-kira 93.5 juta rakyat Mexico layak mengundi untuk memilih 500 kerusi dewan negeri, 15 ketua negeri dan ribuan jawatan ketua masyarakat tempatan. – AFP