Uche Agba pemain terbaik April

UCHE Agba dipilih sebagai pemain terbaik bulanan Liga Premier 2021 bagi edisi April.

MESIN gol Sarawak United FC (SUFC), Uche Agba dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan Liga Premier 2021 bagi edisi April.

Perkara itu diumumkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi media sosial mereka, pada Sabtu lalu.

“Tahniah diucapkan kepada Uche Agba dari pasukan Sarawak United FC kerana terpilih sebagai Pemain Terbaik Liga Premier PFAM-asiana.my edisi April 2021,” kata PFAM menerusi akaun Facebook rasmi mereka.

Anugerah anjuran PFAM dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (Asiana.my) adalah satu pengiktirafan kepada pemain bola sepak profesional yang bermain dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pemain import dari Nigeria itu meraih sebanyak 14,609 undi atau 55.37 peratus mendahului empat pilihan lain termasuk Jordan Mintah dari Terengganu FC II (7,992 undi).

Sementara itu, penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan 2,708 undi.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fernando Rodriguez memperoleh 720 undi manakala George Attram daripada pasukan Selangor FC II di kedudukan kelima dengan 425 undi.

SUFC menerusi hantaran di facebook menzahirkan ucapan tahniah serta mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mengundi Agba sekali gus mengangkat pemain berusia 35 tahun itu sebagai pemain terbaik bagi edisi April.

Oleh ADI SAFARMAN