KCFC sambung latihan selepas PKP

LATIHAN… Irfan Bakti mengendalikan latihan pemain pasukan KCFC baru-baru ini. • Foto IHSAN MEDIA KCFC

SKUAD Kuching City FC (KCFC) akan memulakan sesi latihan selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurut beliau, pihaknya kini perlu menunggu tempoh tersebut berakhir sebelum kembali merangka jadual latihan seperti biasa.

“Ketika ini pemain belum dapat memulakan latihan berpasukan ekoran pelaksanaan PKP sejak 1 Jun lalu.

“Saya berharap apabila berakhirnya tempoh PKP nanti, kita akan kembali semula menjalani latihan serta merangka jadual kepada barisan jurulatih dan pemain,” katanya.

Irfan turut bimbang situasi sebegini terhadap pasukannya, bakal menjejas momentum anak buahnya apabila pusingan kedua Liga Premier akan bersambung semula pada Julai depan.

“Pasukan kami terpaksa ‘reset’ semula tahap kecergasan pemain bermula dari kosong, sebaik sahaja berakhirnya tempoh pelaksanaan PKP nanti.

“Saya berharap selepas itu nanti, apabila pasukan kembali turun menjalani latihan, prestasi dan kecergasan pemain dapat dipulihkan sepenuhnya,” ujarnya.

Bagi Irfan, dalam tempoh ini bagi pasukannya membolehkan para pemain yang cedera memulihkan kecederaan yang dialami mereka sebelum ini.

Dalam perkembangan lain baru-baru ini, KCFC memutuskan untuk melepaskan seorang pemain import mereka iaitu Bryan Jones ekoran prestasi kurang cemerlang yang ditampilkan dalam saingan Liga Premier musim ini.

Penyerang dari Brazil itu bukan sahaja menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan sepanjang kempen pusingan pertama Liga Premier 2021, malah kecederaan yang dialaminya memuktamadkan beliau disingkirkan daripada pasukan.

KCFC kini menduduki tangga kesembilan Liga Premier setelah mengharungi 10 aksi dengan merekodkan dua kemenangan, empat seri dan empat kali kalah.

Oleh ADI SAFARMAN