BKSS RM1.4 BILION HARUNGI WABAK

SERAH… Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan bungkusan makanan kepada wakil kawasan semasa Majlis pelancaran Penyerahan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang BKKS6.0 di pekarangan Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki di Kuching semalam.• Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah RM1.4 bilion di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 untuk membantu rakyat dalam mengharungi wabak Covid-19.

“Salah satu pakej di bawah BKSS 6.0 adalah pemberian bantuan makanan kepada isi rumah yang terjejas oleh PKP, terutama mereka yang berada di bawah kategori B40,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bantuan Makanan kepada Ketua Isi Keluarga (KIR) di masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini semalam.

Di bawah pakej bantuan makanan itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima peruntukan minima RM250,000 dan bantuan makanan itu diagihkan kepada KIR kumpulan B40.

Dianggarkan sejumlah 472, 923 KIR dalam 12 buah daerah di negeri ini akan menerima bantuan makanan menerusi pakej Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BBMSS) selain BKSS 6.0.

Setakat kelmarin (7 Jun) seramai 49, 811 KIR atau bersamaan 10.5 peratus sudah menerima bantuan makanan tersebut.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyasarkan pengagihan bantuan makanan kepada semua KIR itu siap pada 11 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bantuan Makanan Kepada KIR yang Terjejas Akibat Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, di sini semalam.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengagihan Makanan yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, jawatankuasa pengurusan bencana bahagian, majlis tempatan, ketua masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan terlibat atas kejayaan menagihkan bantuan itu di kawasan terjejas mengikut jadual.

Oleh NUR AIN OTSMAN