Pendekatan komuniti dalam menangani pandemik

PEMBANGUNAN komuniti  ialah penglibatan jaringan ahli dalam  masyarakat bagi sesuatu aktiviti atau program untuk  mencapai kualiti kehidupan bagi sesebuah kawasan.  Komuniti kawasan  meliputi  minat bersama  tentang wilayah dan tempat dipengaruhi oleh  pendidikan, persekitaran dan sosiobudaya mereka. 

Komuniti  berkepentingan pula merujuk kepada  kelompok yang mempunyai minat dan kepentingan yang sama.  Misalnya hasrat kerajaan untuk memastikan sebahagian besar rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin dalam program imunisasi kebangsaan.

Pembangunan komuniti ialah proses sosial yang melibatkan penyertaan aktiviti bagi meningkat kualiti kehidupan yang bersifat menyeluruh meliputi segala lapisan komuniti  itu sendiri. Proses pembangunan  yang dilaksanakan ini sama penting dengan hasil yang ingin dicapai. Justeru, proses mengenal pasti permasalahan masyarakat  dan proses penyelesaian masalah  adalah bahagian penting  melibatkan masyarakat setempat.  Pengibatan ini termasuk pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan rakyat sendiri. 

Kepentingan langkah setempat

Dalam konteks ini, pendekatan komuniti dapat memastikan  kelompok sasaran  mendapat bantuan sewajarnya dan terdapat penyertaan  dalam membuat keputusan-keputusan penting melibatkan hak, kehidupan dan masa depan mereka, Mereka juga berhak mendapat maklumat secukupnya yang bersifat telus dan objektif daripada pihak kerajaan yang melaksanakan program ini untuk memastikan komuniti setempat lebih bermaklumat dan berpengetahuan, memahami risiko-risiko yang didepani, keperluan sebenar, keupayaan dan hambatan yang ada. 

Antara langkah yang diambil dalam konteks ini ialah memanggil ketua-ketua kaum, ketua kampung, tuai-tuai rumah panjang, temenggung, pemanca dan pelbagai struktur hieraki social dalam masyarakat setempat untuk diberikan pencerahan mengenai keperluan dan rasional program pemberian vaksin ini.  Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin pelbagai kepercayaan agama juga perlu dilibatkan program pencerahan ini agar mereka mendapat perspektif yang menyeluruh dan lebih memahami permasalahan penularan wabak covid-19 dan sama-sama bersedia untuk membantu memberikan penerangan kepada ahli-ahli masyarakat selepas mendapat maklumat secukupnya.

Sudah pasti peranan pejabat residen dan agensi-agensi kerajaan penting bagi memastikan penyelarasan dilakukan dengan lebih efisien. Hal ini kerana pembangunan komuniti merupakan pendekatan yang menyeluruh dalam memperkasakan  hak-hak rakyat, memberikan keadilan sosial, kuasa penentuan oleh diri sendiri, serta memerlukan tindakan bersepadu dan bersama.  Komuniti akan lebih dapat memulihkan keadaan, menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dihadapi dan segala trauma, tragedi dan ancaman yang dihadapi dalam konteks covid-19 bukan sahaja ancaman virus corona virus akan tetapi  impak terhadap ekonomi dan sosial rakyat jelata.

Menembusi keperluan masyarakat

Berdasarkan pengalaman di negeri Selangor yang mencatatkan pendaftaran vaksin COVID-19 tinggi walaupun negeri tersebut sangat luas dan mempunyai kepadatan penduduk sangat tinggi di Malaysia adalah disebabkan usaha sama digerakkan jentera kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat kawasan,  ketua kampung, serta jawatankuasa masjid dan surau untuk membantu pendaftaran.  Amalan penyertaan bertambah kukuh apabila badan bukan kerajaan setempat turut memainkan peranan mereka untuk membantu proses tersebut.

Sesuai dengan fokus untuk memastikan imuniti kelompok dapat dipercepatkan wakil-wakil rakyat wajar membantu proses pendaftaran dan kesedaran Covid-19 kepada pengundi sama seperti kerja kuat  mereka ketika berkempen pilihan raya. Kerjasama pelbagai lapisan masyarakat  dan usaha seperti menggerakkan Trak Vaksin Bergerak ke kawasan sasar termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan kampung tradisi termasuk rumah panjang.

Langkah Sarawak bantu menyediakan bakul makanan  melibatkan  472, 923 ketua isi rumah terutama golongan B40 di Sarawak  kepada yang layak perlu diperkasakan lagi. Setiap  kawasan dewan undangan negeri (DUN) menerima peruntukan  sebanyak RM250,000 dengan jumlah seluruh negeri ialah RM35.5 juta. Penggunaan lori,, pacuan empat roda, perahu selain  kerjasama agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia bagi menghantar bantuan. Bagi pekerja pelaksana seperti pekerja jabatan kebajikan, penguatkuasa seperti di perhutanan dan jabatan agama islam dalam menguruskan hal ehwal kematian perlu juga diberikan vaksin terlebih awal bagi memastikan mereka dapat melaksanakan kerja mereka dengan selamat.

Namun pendekatan komuniti secara menyeluruh, perlu  ada, misalnya  susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah lebih wajar  kerajaan negeri memperuntukan sejumlah peruntukan untuk membeli lambakan hasil pertanian di seluruh negeri  dengan harga yang bersesuaian  dan dijual semula kepada orang ramai dengan harga berpatutan.   Langkah ini boleh diambil oleh Kementerian Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah (MANRED) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, FAMA dan seluruh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Hambatan di pusat

Pada tahun lepas, kerajaan pusat berjanji memberikan 150,000 buah komputer kepada pelajar B40.  Namun sehingga Jun  tahun ini hanya  12, 887  diserahkan.  Terdapat baki 137,113 buah lap top belum diserahkan.  Sedangkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  akan bermula  13 jun  selama 25 hari. Maka, kerajaan negeri disarankan memohon kerajaan pusat menunaikan janji  untuk  membekalkan komputer secepat mungkin. Sekiranya pihak  pusat menyatakan kesukaran dari segi bajet atau penghantarannya, maka sudah wajar Kerajaan negeri membuat inisiatif  dengan menggunakan bajet tambahan  terlebih dahulu sementara pihak pusat akan membayar kepada kerajaan negeri terkemudian. Ini penting bagi memastikan penduduk di negeri Sarawak tidak tertunggu-tunggu dan ini boleh melambatkan proses pembelajaran dalam menjayakan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pendekatan dan peta pelaksanaan

Strategi pertama pemberian vaksin adalah pemberian kepada petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan dan keselamatan seperti polis untuk memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pada tahap optimum. Strategi kedua pula focus  kepada kumpulan berisiko tinggi  seperti orang tua, pesakit kronik dan OKU agar terlindung daripada jangkitan COVID-19 untuk mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia. Strategi ketiga  ialah fokus di kawasan kluster berisiko tinggi  dan rakyat yang berumur 18 tahun ke atas.  Kesemua ini mengambil kira situasi setempat untuk memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan.

Maka, peta perancangan dan persediaan bukan sahaja untuk menangani covid-19, akan tetapi untuk memberikan perancangan menyeluruh mengenai pasca pencapaian 80 peratus pemberian vaksin perlu ada. Hal ini bermakna rancangan dan strategi ekonomi dan sosial  perlu disusuli akan rangka dan diumumkan kepada  rakyat untuk tujuan pemulihan dan mendapatkan keyakinan daripada rakyat untuk bergerak ke depan.

Maklum balas daripada rakyat, pandangan pakar-pakar epidemiologis, pakar ekonomi dan sosiologi pembangunan  perlu diambilkira  dalam apa-apa proses membuat keputusan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  pula perlu terbuka dalam  menerima apa-apa maklum balas daripada pandangan pihak akademik seperti pakar epidemiologis dan pakar ekonomi dan sosiologi pembangunan  semasa perlu diiambilkira dalam apa-apa dalam proses membuat keputusan.  

Kesemua ini dapat memastikan semua pihak dapat berperanan dalam bersama-sama membantu menangani penularan wabak covid-19 dan memastikan pemulihan ekonomi dan sosial dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama.