Pilihan beli minyak masak lebih murah

TIMBALAN Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada Tok Batin Orang Asli suku Semaq Beri Rosli Desoh ketika turun padang menyerahkan bantuan makanan di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua semalam. Turut sama Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. • Foto BERNAMA

KUALA BERANG: Pengguna boleh mendapatkan bekalan minyak masak dalam bungkusan polibeg yang dijual lebih murah, sekiranya mendapati terdapat kenaikan harga minyak masak dalam botol di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, minyak masak dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) yang telah disubsidikan oleh kerajaan di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) itu, boleh didapati di semua premis jualan termasuk di pasar raya dan kedai runcit.

“Kementerian menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun, untuk minyak masak dalam peket satu kg yang bersubsidi ini. Harganya tidak akan dijual lebih RM2.50 sekilo.

“Dan kita telah mengkaji purata penggunaan minyak masak polibeg untuk rakyat Malaysia ialah sebanyak 1.8 kg sebulan bagi semua isi rumah, jadi jumlah minyak masak subsidi ini memang cukup,” katanya selepas mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini semalam.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga minyak masak dalam botol lima kilogram di pasaran ketika ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna supaya sentiasa merujuk aplikasi ‘Price Catcher’ yang telah disediakan oleh pihak KPDNHEP, untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Beliau turut meminta pengguna mahupun pemimpin masyarakat setempat, supaya melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya penduduk di satu-satu kawasan tidak mempunyai alternatif, untuk mendapatkan bekalan minyak masak yang lebih murah.

Dalam pada itu Rosol berkata kenaikan harga minyak masak turut dipengaruhi oleh harga buah tandan sawit di ladang, yang kini dilaporkan naik sehingga RM1,000 satu tan, berbanding RM300 satu tan sebelum ini.

“Jadi pengguna boleh beli minyak dalam peket yang lebih murah. Lainlah kalau ada kawasan tidak mempunyai pilihan minyak masak murah dan pengguna terpaksa beli yang mahal. Jadi perkara itu perlu lapor kepada kita,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam dilaporkan berkata, harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram adalah munasabah, memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

Katanya, purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan, menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan dan ini menyebabkan harga minyak masak di kilang berada pada kadar RM4.50 hingga RM5 sekilogram. – Bernama