SUFC III jalani latihan atas talian

JURULATIH dan pemain SUFC III melakukan latihan dengan menggunakan aplikasi media sosial seperti GoogleMeet.

SKUAD Piala Belia Sarawak United FC III (SUFC III) guna kreativiti yang membolehkan mereka berlatih bersama-sama walaupun melakukannya di kediaman masing-masing.

Pengurus pasukan Nazri Ahmad Lai memberitahu, dengan menggunakan salah satu aplikasi media sosial seperti GoogleMeet, semua pemain saling dapat berhubung menerusi telefon pintar dan melakukan latihan.

Katanya, cara itu lebih meriah dan senang dikendalikan serta membuat pemantauan berbanding sebelum ini yang mana pemain hanya menghantar video masing-masing kepada jurulatih.

“Setakat ini, semua pemain sangat profesional, mereka melakukan semua program latihan yang diberikan para jurulatih dan dengan berlatih bersama juga, mereka akan lebih faham setiap gerakan atau senaman yang kita mahu.

“Para pemain juga tidak pernah mengeluh dengan program latihan yang kita buat sekarang, kita tahu ini masa yang sukar untuk seluruh negara tetapi sebagai pasukan profesional kita harus lakukan yang terbaik untuk menjaga kecergasan,” kata Nazri.

Nazri turut berharap, pemain akan tetap fokus dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak dengan melakukan senaman semaksimum yang boleh.

“Ketika ini, mereka (pemain) berada di rumah penginapan yang disediakan oleh pihak pengurusan di Miri, jadi mereka ‘fresh’ dan apabila tiba saat masuk keadaan normal nanti, mereka akan kembali dengan semangat baharu dan ‘laparkan pretasi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau amat berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan para pemain walaupun sekadar berlatih daripada rumah.

“Saya akan memantau latihan yang dijalankan pemain dengan dibimbing oleh para jurulatih dan mereka melakukannya dengan baik.

“Semua orang rindukan padang bola, tapi kita terpaksa akur dengan keadaan semasa. Marilah kita sama-sama berdoa agar masalah Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini akan selesai dan kita dapat menikmati bola sepak seperti biasa,” jelasnya.

Semua jadual perlawanan Piala Belia 2021 musim ini ditangguhkan sejak 1 Jun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang mana Kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 14 Jun ini.

Belum ada tarikh atau jadual baharu Piala Belia 2021 tetapi ia dijangka hanya akan diteruskan selepas keadaan selamat atau negara bebas Covid-19.

Dalam pada itu, SUFC III membariskan seramai 29 pemain terdiri daripada 15 pemain senior dan 14 pemain muda lepasan sekolah yang akan menggalas tanggungjawab dalam memperbaiki kedudukan lebih baik dalam kejohanan itu nanti.

Selain menampilkan ketua jurulatihnya, Pengiran Bala dan dibantu Mohamad Hakimi Man, skuad itu turut dibimbing jurulatih Abu Bakar Amran, Fadillah Ibrahim, Saller dan Ishya Sabu.

SUFC III diundi dalam Kumpulan C (Tengah) membabitkan Terengganu FC IV, Sabah FC IV, PJ City FC, Kuching City FC dan Selangor FC.

Oleh ADI SAFARMAN