Usah politikkan hubungan

BANTUAN NEGARA… Henry Sum bersama Pegawai Daerah Lawas bertemu wakil Gabenor Wilayah Krayan Kalimantan bagi penghantaran bekalan keperluan ke negara jiran seperti yang dipersetujui kedua-dua pemimpin negara.

LAWAS: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berharap agar perkara yang membabitkan hubungan Malaysia dan Indonesia  yang telah dipersetujui kedua-dua pemimpin tertinggi negara tidak perlu diangkat menjadi isu.

Henry Sum Agong yang juga Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’Kelalan dalam satu kenyataan memberitahu, merujuk kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian yang disiarkan dalam media tempatan semalam supaya menghentikan penghantaran bantuan makanan dan keperluan bahan binaan ke daerah jiran di Krayan Kalimantan Indonesia adalah bersifat retorik politik.

Katanya, adalah dijelaskan bahawa bantuan adalah tidak melibatkan mana-mana pihak berkepentingan dan Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dan Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuching, Sarawak  telah meluluskan permohonan Daerah Krayan Kalimantan bagi bantuan berkenaan atas faktor kemanusiaan dan semangat setiakawan negara ASEAN.

“Bantuan melibatkan barangan makanan dan bahan binaan ke Baerah Krayan Kalimantan melibatkan dua koperasi berdaftar yang telah diberi kelulusan kerajaan kedua-dua negara.

“Malah, bantuan ini juga dipantau rapi oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bertanggungjawab dalam aspek keselamatan dan prosedur operasi standard(SOP) langkah pencegahan Covid-19 antara negara Malaysia dan Indonesia.

“Dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia bersama Residen Bahagian Limbang dan Pegawai Daerah Lawas adalah sebagai wakil sah Kerajaan Malaysia dalam memastikan segala urusan diperbatasan sempadan berjalan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Jelas beliau, bagi menjawab isu berhubung dengan kebimbangan merebaknya pandemik Covid-19 ke Ba’kelalan, perlu dijelaskan setiap individu terlibat telah menjalani saringan dan pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diberi kebenaran untuk terlibat dalam menghantar bantuan.

“Mereka yang terlibat khususnya bagi bahagian pengangkutan adalah menggunakan perkhidmatan pengangkutan milik penduduk di kawasan Ba’kelalan dan Koperasi Ba’kelalan. Ini tidak melibatkan penglibatan pihak luar daripada kawasan Ba’kelalan.

“Selain itu, bantuan bahan binaan juga diberikan kerana atas persetujuan pihak Kerajaan Malaysia terhadap permohonan Indonesia bagi memulihkan sektor pembinaan kemudahan awam bagi rakyat di Daerah Krayan Kalimantan itu sendiri.

“Kawalan ketat dan penutupan pintu sempadan sepanjang PKP bermula 2020 hingga sekarang masih dikuatkuasakan dan tidak ada bukti sah mengenai kemasukan warga Indonesia yang berjaya memasuki pintu sempadan negara yang dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan pelbagai agensi penguatkuasa lain,” katanya.

Henry menambah,  isu warga Indonesia yang didakwa datang dari Ba’kelalan ke Lawas adalah satu tuduhan tidak berasas kerana banyak pekerja Indonesia yang bekerja di sektor perladangan dan pertanian di kawasan tersebut sejak awal sebelum timbulnya pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, ujar beliau Baru Bian perlu tahu bahawa bantuan yang dihulurkan ke daerah jiran di Kraya Kalimantan juga adalah membantu saudara mara kebanyakkan penduduk di Ba’kelalan itu sendiri.

Kata beliau, ramai penduduk di Ba’kelalan yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan rakyat di Daerah Krayan Kalimantan dan ini perlu diakui sendiri oleh Baru Bian.

“Selain itu, bantuan kemanusiaan ini adalah sebagai satu bukti keperihatinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap hubungan dengan negara jiran seperti Indonesia.

“Adalah  diharapkan agar tuduhan ini dihentikan yang bertujuan menutup usaha murni Kerajaan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang terus menyantuni dan menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan makanan, bantuan kewangan di bawah Pakej Bantuan Kebajikan Sarawakku Sayang(BKSS) dan bantuan dibawah pakej Perihatin Nasional di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Penghantaran makanan dan bekalan bahan binaan yang dilakukan sekarang adalah bagi melengkapkan senarai baki yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan dalam senarai yang diluluskan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

“Justeru perkara yang menjadi kepentingan bersama seharusnya tidak dijadikan isu.

Oleh itu rakyat di Ba’kelalan di Daerah Lawas perlu bijak menilai permainan politik oleh mereka yang telah ketandusan idea bagi memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 danPilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Oleh ADENG EDRUS