6,258 KIR DUN Bekenu terima bekalan makanan

TERIMA KASIH … Datuk Rosey Yunus menyerah Bantuan Khas Sarawakku Sayang kepada Tuai Rumah Hemperi di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Bekenu Selasa lalu.

BEKENU: Sejumlah 6,258 bekalan makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 akan diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika ditemui Selasa lepas.

Beliau di temui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bekenu di sini berkata, bantuan ini ialah bagi meringankan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Hari ini kita telah menjemput kumpulan pertama sebahagian Ketua Kaum Ketua Masyarakat (KMKK) untuk menerima bantuan sebagai simbolik.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana dalam masa dan keadaan begini (Pandemik Covid-19) ada bantuan untuk rakyat dan masyarakat keseluruhannya,” jelasnya.

Tambahnya, di kawasan DUN Bekenu terdapat 6,258 Ketua Isi Rumah (KIR) terima bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang.

“Bantuan ini adalah sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama yang sangat-sangat tinggi daripada semua lapisan masyarakat.

“Kalau kita dapat memberi kerjasama berusaha memutuskan rantaian Covid-19 ini, pasti kita boleh kembali normal berkeadaan seperti biasa,” ujarnya lagi.

Hadir bersama pada penyerahan BKSS ialah Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Pegawai Daerah Subis Jamalie Busri serta ketua-ketua kaum setempat.

Oleh ADUM LIU