Tak perlu janji temu

KENANGAN… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merakam gambar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, semalam.

KAPIT: Penduduk di kawasan terpencil di Sarawak tidak perlu lagi bimbang tentang pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerana mereka kini boleh mendapatkan suntikan vaksin secara walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) dan mendaftar selepas itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di luar bandar seperti di Kapit untuk mendaftarkan diri, sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual di pejabat residen dan daerah, bagi mendapatkan vaksinasi.

“(Kaedah walk-in) ini akan mempercepat proses vaksinasi penduduk di Sarawak,” katanya, pada sidang media selepas melawat PPV di Dewan Sri Balleh, di sini semalam.

Menurut beliau, vaksinasi secara walk-in itu hanya terbuka kepada penduduk di kawasan luar bandar yang terpencil dan mencabar, manakala mereka yang tinggal di bandar masih perlu mengikuti prosedur pendaftaran sedia ada.

Beliau berkata, penduduk rumah panjang boleh datang ke PPV yang ditubuhkan oleh pasukan vaksinasi bergerak berdekatan kawasan masing-masing untuk mendapatkan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan untuk mereka.

Abang Johari berkata, sebanyak 16 pasukan bergerak akan dihantar untuk melaksanakan program vaksinasi di Kapit, 20 pasukan di Bukit Mabong dan masing-masing dua pasukan di Song dan Belaga.

Katanya, pasukan tersebut akan menggunakan jalan darat dan air selain helikopter di bawah perkhidmatan doktor udara untuk ke kawasan yang berkenaan.

“Ini adalah tugas yang amat mencabar kerana bahagian Kapit lebih luas daripada negeri Pahang dan ramai penduduknya tinggal di kawasan terpencil,” katanya, menambah kawasan mencabar lain yang memerlukan pasukan bergerak seperti itu ialah Baram di Miri, Limbang dan Lawas serta beberapa kawasan di Sri Aman.

Pemvaksinan ke atas 96,723 penerima yang layak termasuk yang dilaksanakan oleh pasukan statik di 32 PPV di Kapit, telah dimulakan bulan ini dan dijangka selesai pada Ogos depan, dan hingga kini seramai 8,662 orang telah divaksinasi.

Abang Johari berkata, Kapit  akan menerima 16,680 dos vaksin setiap minggu sehingga selesainya program vaksinasi itu.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai Pelan Tindakan Program Imunisasi/Vaksinasi Kawasan Luar Bandar Kapit oleh Residen Kapit Nyurak Keti sebelum menyampaikan bantuan makanan Sarawakku Sayang untuk bahagian tersebut.

Beliau turut mengunjungi Hospital Medan Kapit di Dewan Masyarakat Melayu sebelum meninjau sekatan jalan raya di Km2.5 Jalan Kapit-Song. -Bernama