RM4.5 juta naik taraf ICU Hospital Kapit

SIDANG MEDIA… Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika sidang media di Kapit, semalam.

KAPIT: Sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kapit yang projeknya kini sedang dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selain menaik taraf ICU, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 lagi bagi menaik taraf rumah mayat Hospital Kapit.

“Berita gembira kepada penduduk di Bahagian Kapit, kita akan memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi menaik taraf ICU Hospital Kapit yang projeknya kini sedang dilaksanakan,” ujar beliau pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kapit di sini, semalam.

Malah, beliau turut mengumumkan bahawa Bahagian Kapit akan menerima sebanyak 16,680 dos vaksin Covid-19 setiap minggu dalam masa terdekat ini.

Abang Johari menegaskan, dos berkenaan akan disalurkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sebelum 8,160 dos disalurkan kepada Daerah Kapit, diikuti Belaga (4,840) dan Song (3,680).

“Setakat ini, dianggarkan sebanyak 10 peratus atau 8,662 orang yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera telah menerima suntikan vaksin.

“Selain membuka PPV, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit juga menubuhkan Unit Bergerak PPV melalui darat, sungai dan udara bergantung kepada lokasi dan keadaan cuaca.

“Usaha JPBB Kapit dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia,” tambah beliau lagi.

Ketua Menteri turut memberitahu, sebanyak 16 pasukan Unit Bergerak pemberian vaksin ditubuhkan di Kapit, Bukit Mabong (20), Song (2), dan Belaga (2).

“Selain itu, sebanyak 32 sekolah di bahagian ini dibuka untuk dijadikan sebagai PPV. Jika tindakan ini berjalan lancar, dianggarkan seramai 16,000 hingga 17,000 penduduk di Bahagian Kapit akan menerima suntik vaksin setiap minggu.

“Proses ini dijangka dapat diselesaikan menjelang pada Ogos depan,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau hadir pada sesi Taklimat Khas Pelan Tindakan Program Imunisasi Covid-19 Bahagian Kapit dan Kesiapsiagaan JPBB Kapit menangani pandemik Covid-19.

Ketua Menteri turut merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di Dataran Kapit dan mengagihkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kapit-Song.

Turut hadir, tiga timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Oleh AKUN GIMAN