Kerajaan sasar penjanaan bekalan sepenuhnya

JALUR ‘overhed’ dipasang di sepanjang tapak perladangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) untuk menghubungkan Rumah Luang, Empaong di Roban.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan agensi pelaksananya, Sarawak Energy mensasarkan untuk menjana elektrik sepenuhnya pada tahun 2025.

Walau bagaimanapun, 5 peratus kawasan luar bandar masih belum mempunyai elektrik dan Kerajaan Sarawak telah melancarkan beberapa inisiatif untuk mempercepat bekalan elektrik bagi masyarakat luar bandar.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kejayaan pelaksanaan inisiatif ini memerlukan kolaboratif dan kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan, yang meliputi pemilik syarikat perladangan dan pembalakan.

Katanya, beliau menggesa semua pihak berkepentingan, pemilik ladang, syarikat pembalakan dan penduduk kampung untuk bekerjasama dengan Kementerian dan Sarawak Energy mencari jalan penyelesaian untuk memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak, terutamanya dalam hal akses sehingga Sarawak dapat mencapai sasaran bekalan elektrik sepenuhnya untuk kawasan luar bandar menjelang 2025 atau lebih awal lagi.

“Perjalanan untuk menjana 95 peratus tenaga elektrik ke luar bandar di Sarawak tidaklah mudah, tetapi Kementerian dan Sarawak Energy yakin dapat mencapai sasaran liputan luar bandar sepenuhnya pada tahun 2025 atau lebih awal, dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

“Ini termasuk bekerjasama dengan Pejabat Residen dan Daerah, wakil rakyat, syarikat perladangan dan kayu serta penduduk kampung,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dibawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar Dipercepatkan, kerajaan Sarawak telah mencapai 95 peratus liputan elektrik luar bandar pada tahun 2020 dari hanya 56 peratus pada tahun 2009, walaupun terdapat kawasan hutan hujan yang padat, kawasan yang sukar dan penempatan luar bandar yang jauh.

Jelasnya, syarikat perladangan dan penduduk kampung memainkan peranan penting dalam usaha penjanaan kuasa elektrik luar bandar, dengan jaringan elektrik dan saluran bekalan melintasi tanah mereka kerana ini meluas hingga ke luar kawasan luar bandar Sarawak.

Kerjasama dari pihak berkepentingan ini sangat penting untuk memungkinkan akses ke kawasan  rangkaian saluran bekalan akan disalurkan.

Selain itu, lokasi strategik telah dikenal pasti dengan mempertimbangkan jarak dan akses sesingkat mungkin.

“Seperti yang dinasihatkan oleh Sarawak Energy, kami telah menerima kerjasama dari beberapa syarikat perladangan, sekali gus dapat mempercepatkan garis masa projek kami dan memungkinkan syarikat dan penduduk kampung segera menikmati manfaat elektrik grid.

“Kami menghargai kefahaman mereka bahawa ini adalah untuk kebaikan umum dan saya sangat berharap semua syarikat akan meningkatkan tahap kerjasama yang sebegini, bukan hanya semasa kerja-kerja elektrik, tetapi juga kebolehcapaian untuk operasi dan penyelenggaraan sistem pengedaran elektrik, ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa usaha Sarawak Energy untuk memastikan projek mencapai sasaran tepat pada masanya serta operasi penting serta kerja penyelenggaraan diselesaikan sesekali terganggu oleh syarikat swasta yang meminta bayaran penyelenggaraan jalan masuk.

“Usaha kolaboratif sangat penting untuk memastikan pelaksanaan projek bekalan elektrik yang lancar, selamat dan tepat pada masanya, terutama dengan COVID-19 wabak yang menghambat pergerakan dan cabaran dari segi logistik,” katanya lagi.

Oleh Jeakqleyn Yacho