AT&S Austria labur RM8.5 bilion di Malaysia

Kemudahan itu, yang melibatkan cadangan pelaburan keseluruhan bernilai RM8.5 bilion (1.7 bilion euro) akan dibangunkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah untuk membuat PCB dan substrat IC mewah. Ia dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi.-Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih oleh peneraju pembuatan global bagi papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) mewah, AT&S yang beribu pejabat di Austria, sebagai lokasi kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan pada Khamis, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kemudahan itu, yang melibatkan cadangan pelaburan keseluruhan bernilai RM8.5 bilion (1.7 bilion euro), akan dibangunkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah untuk membuat PCB dan substrat IC mewah.

Ia dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi, katanya.

Beliau berkata, pelaburan terbaru itu merupakan bukti keyakinan pelabur asing terhadap prospek ekonomi serta sumber modal insan yang tersedia di Malaysia untuk memenuhi permintaan teknologi tinggi daripada industri berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer telah bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu menerusi persidangan secara maya untuk menyampaikan keputusan rasmi tersebut.

Menerusi kenyataan sama, Muhyiddin mengalu-alukan penyertaan AT&S ke dalam ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang rancak dan keputusan AT&S untuk melabur di negara ini membuktikan keyakinan firma itu terhadap keupayaan ekonomi dan potensi pertumbuhan mampan Malaysia.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa kumpulan bakat mahir dalam industri E&E, persekitaran pelaburan yang bersifat memudahkan serta penyepaduan kukuh dengan rantaian bekalan antarabangsa yang dimiliki Malaysia menawarkan gabungan ideal kepada pihak berkepentingan teknologi tinggi.

“Menerusi usaha bersama-sama, kehadiran AT&S di Malaysia juga akan meningkatkan lagi pembangunan ekosistem semikonduktor kita, mencipta peluang untuk vendor tempatan kita dalam bidang elektronik canggih serta memacu pekerjaan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada AT&S atas langkah penting mereka untuk ke Malaysia bagi pengembangan perniagaan serta memuji komitmen AT&S kepada Malaysia, menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang bekerjasama dengan firma itu sejak November 2020 untuk memperoleh projek ini.

“Kerajaan Malaysia akan memastikan kelulusan bagi pelaksanaan projek ini adalah tepat pada masanya justeru, AT&S dialu-alukan untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan di bawah Pusat Sehenti (OSC) untuk Pelancong Perniagaan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha giat yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta dan MIDA dalam menarik pelaburan yang lebih berkualiti dari seluruh dunia, terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.

“Pengumuman pelaburan ini menunjukkan kemenangan penting bagi Malaysia dalam membuktikan usaha kita mendapatkan pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pembinaan kilang itu dijadualkan bermula pada separuh kedua 2021 dengan operasi komersial disasarkan pada 2024.

Sementara itu, Gerstenmayer berkata Malaysia dipilih selepas usaha mencari lokasi di seluruh dunia giat dilakukan pihaknya.

Beliau berkata AT&S akan membawa generasi teknologi maju terkini ke negara ini dan membangunkan sektor teknologi baharu sepenuhnya.

“Selain pembuatan produk berteknologi tinggi, sejumlah besar aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dijalankan di lokasi baharu ini.

“Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi selain memperkukuh negara ini sebagai hab pembuatan teknologi tinggi di Asia,” katanya.- Bernama