Kemasukan pemain import ditangguh

SKUAD KCFC terpaksa menangguhkan pengambilan kemasukan pemain import baharu mereka. (Foto Ihsan Media KCFC).

EKORAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di seluruh Malaysia ketika ini, skuad Kuching City FC (KCFC) terpaksa menangguhkan dahulu pengambilan kemasukan pemain import baharu mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandy Ali Hassan, dalam laporan akhbar tempatan beberapa hari lalu, calon pemain import baharu yang sepatutnya tiba di negara ini pada minggu ini, terpaksa menunggu sehingga PKP berakhir.

“Bukan itu sahaja, proses dokumentasi calon import itu masih tergendala dan perlu mendapatkan dokumentasi tersebut daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak (JIMS) bagi kemasukan pemain import asing,” jelasnya.

Iswandy menjelaskan proses dokumentasi tersebut mengambil sedikit masa, lebih-lebih lagi situasi negara kini masih dalam tempoh PKP.

“Kami enggan mendedahkan dahulu siapa pemain import tersebut kerana surat rasmi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum diterima. Perkara sebegini kita harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim telah mendedahkan skuadnya kini telah pun mengenal pasti calon import asing baharu bagi mengharungi pusingan kedua Liga Premier yang bermula Julai nanti.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti pemain tersebut. Yang pasti calon tersebut adalah pemain penyerang.

Irfan berharap kehadiran import baharu dalam kem kendaliannya akan dapat menampung kekurangan yang dialami sepanjang saingan pusingan pertama kempen Liga Premier 2021.

Sebelum ini, KCFC telah memutuskan untuk melepaskan seorang pemain import mereka iaitu Bryan Jones ekoran prestasi kurang cemerlang yang ditampilkan dalam saingan Liga Premier musim ini.

Penyerang dari Brazil itu bukan sahaja telah menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan sepanjang kempen pusingan pertama Liga Premier 2021, malah kecederaan yang dialami oleh pemain itu sekali gus disingkirkan daripada pasukan.

Jendela perpindahan pemain telah dibuka 3 Mei dan berakhir pada 30 Mei lalu. Yang pasti, Irfan tidak berpuas hati dengan prestasi import asing sedia ada, kerana sering gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol.

KCFC kini dibarisi tiga import asing iaitu, Hudson Dias (penyerang), Aylton Fereira (pertahanan) dan Yuta Suzuki (tengah).

KCFC kini menduduki tangga kesembilan Liga Premier setelah mengharungi 10 aksi dengan merekodkan dua kemenangan, empat seri dan empat kali kalah.

Oleh ADI SAFARMAN