Beri komitmen penuh

PENGURUS pasukan Harimau Malaya Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengulangi bahawa Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe akan terus memberikan komitmen penuh kepada skuad kebangsaan sekalipun sedang berduka selepas ayahnya Tan Chooi Siak, 95, meninggal dunia kelmarin.

 Mendiang meninggal dunia di kediamannya di Alor Setar, kira-kira 12 jam sebelum sepak mula pertemuan Malaysia dan Vietnam dalam pusingan kedua Kumpulan G pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas tipis 1-2. 

“Sebelum perlawanan kita ada bertemu beliau, walaupun dalam kesedihan beliau tetap memberikan sepenuh tumpuan untuk perlawanan itu. Malah, pemain-pemain juga berjanji untuk beri yang terbaik.

 “Kalau menang, mungkin dapat meredakan kekecewaan Cheng Hoe, malangnya ia tidak menjadi seperti yang kita jangkakan,” kata Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Mohd Yusoff berharap skuad Harimau Malaya dapat mencatatkan kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan menentang Thailand esok (12.45 pagi Rabu waktu Malaysia) supaya moral pemain kekal positif bagi terus memburu slot ke Piala Asia 2023 pada pusingan seterusnya.

Pada perlawanan kelmarin, Golden Dragons mendahului menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27 sebelum Harimau Malaya menyamakan kedudukan melalui penalti yang disempurnakan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-72.

Kegembiraan Malaysia hanya seketika apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti yang turut mencetuskan pertikaian pada minit ke-82, dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Que Ngoc Hai, sekali gus menghampakan  anak buah Cheng Hoe untuk berkongsi mata.

Keputusan pagi tadi menyaksikan Vietnam yang mengekalkan rekod tanpa kalah,  kekal di tangga teratas kumpulan dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata), Thailand (9), Malaysia (9) dan Indonesia (1).-Bernama