62 TAHUN SUPP DALAM POLITIK SARAWAK

DR SUFFIAN MANSOR

SALAH satu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam politik Sarawak ialah penubuhan Sarawak United People’s Party (SUPP).  Ini kerana parti tersebut merupakan antara parti tertua di Sarawak. 

Asal-usul penubuhan SUPP bermula dengan berlakunya perubahan perlembagaan negeri Sarawak semasa pemerintahan British. Usaha British untuk membimbing penduduk Sarawak untuk berkerajaan sendiri telah mencetuskan usaha memberi pilihan raya di Sarawak. 

Atas sebab itu seorang anak muda Sarawak iaitu Safri Awang Haji Zaidell dalam satu hantaran surat kirimannya dalam The Sarawak Tribune mencadangkan penubuhan sebuah parti rakyat untuk perpaduan penduduk Sarawak.

12 Jun 1959

Seruan ini walaupun mendapat reaksi pendapat yang pelbagai – dengan ada yang menyokong dan ada yang tidak pasti – tetapi ia membawa kepada beberapa pemimpin Sarawak terdiri daripada Ong Kee Hui, Song Thian Cheok dan Stephen K. T. Yong serta beberapa pemimpin bumiputera mengadakan rundingan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Menerusi rundingan tersebut maka SUPP didaftarkan pada 12 Jun 1959.

Sejak penubuhannya, SUPP menghadapi pelbagai cabaran besar.  Pertama ia tidak mendapat sokongan kuat daripada pemimpin bumiputera menyebabkan beberapa buah parti bumiputera terbentuk.

Kedua SUPP juga pernah dikaitkan dengan penyusupan ahli-ahli komunis di ranting-rantingnya.  Beberapa pemimpin ranting SUPP pula pernah ditahan oleh pihak berkuasa British menerusi pelbagai ordinan.

Pilihan raya 1963

Ketiga SUPP mempunyai pandangan berbeza apabila cadangan Malaysia dibentuk kerana mereka mahu melihat dahulu hasil kemerdekaan Sarawak sebelum menyertai pembentukan Malaysia.  Akhirnya SUPP berdepan dengan Perikatan Sarawak dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1963.

SUPP mampu memenangi lima kerusi dalam pilihan raya tersebut setelah berunding dengan Parti Negara Sarawak (PANAS) dan menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sepanjang tempoh sebagai pembangkang, SUPP menyaksikan dan mengalami pelbagai peristiwa politik yang serius di Sarawak termasuk krisis kerajaan negeri Sarawak pada tahun 1965 dan 1966.  SUPP juga menyokong usaha mempercepatkan proses Borneonisasi dalam pentadbiran kerajaan negeri Sarawak. Pada masa ini juga pendirian SUPP mula berubah tentang Malaysia apabila mereka memberi sokongan kepada Malaysia.

Pilihan raya 1970

Walaupun menjadi pembangkang SUPP tetap mempunyai pengaruhnya tersendiri yang jelas berlaku dalam pilihan raya langsung pertama Sarawak pada tahun 1970.

Kemampuannya meraih hampir 1/3 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak menyebabkan ia dijemput oleh Parti Bumiputera bersama-sama membentuk kerajaan negeri Sarawak.  Sejak penyertaan ini SUPP kekal menjadi parti kerajaan sehingga ke hari ini.

Apabila dalam kerajaan, SUPP memberi sokongan kepada kestabilan politik Sarawak.  Ia juga membantu kepimpinan Tun Abdul Rahman Ya’akub dalam memajukan dan menjaga keselamatan Sarawak.

DAP di Sarawak 1978

Sepanjang tempoh itu juga beberapa cabaran baharu muncul ke atas parti tersebut.  Sebuah parti dari Semenanjung Malaysia iaitu Democratic Action Party (DAP) mula bertapak di Sarawak pada tahun 1978.

DAP menjadi lawan utama SUPP sejak dari penubuhan cawangan parti tersebut pada Ogos 1978. Penubuhan DAP ini juga asalnya daripada beberapa perselisihan antara pemimpin SUPP. Kumpulan yang tidak senang dengan kepimpinan SUPP kemudiannya menubuh cawangan DAP di Sarawak.

Pada peringkat awal SUPP mampu mengatasi DAP dalam beberapa siri pilihan raya pada akhir tahun 1970-an dan 1980-an.  Walau bagaimanapun DAP mampu memenangi beberapa  kerusi parlimen pada tahun 1980-an tetapi tidak mengguggat kekuatan SUPP di peringkat negeri.

Kekuatan SUPP

Kekuatan SUPP ini membolehkan ia menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri sejak tahun 1970 hingga 2011.  Di peringkat kerajaan pusat juga SUPP mendapat tempat sebagai menteri dan timbalan Menteri kerana prestasi SUPP yang mampu memenangi majoriti kerusi parlimen yang ditandingnya. 

Bermula pada pilihan raya negeri 1996, SUPP mula mendapat saingan DAP di peringkat negeri.  Selepas itu SUPP bangkit semula dan memenangi kerusi yang dimenangi oleh DAP sehingga tahun 2006.

Pada pilihan raya negeri 2006 SUPP kehilangan enam kerusi tetapi masih lagi mengekalkan 11 kerusi.  Pada tahun 2011 menyaksikan SUPP hanya memenangi enam kerusi dan hilang 12 kerusi.    Paling terkesan dalam pilihan raya negeri itu ialah kekalahan presiden mereka iaitu Tan Sri George Chan. Kesan ketara kekalahan ini menyebabkan SUPP tidak lagi menjadi parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional Sarawak. 

Pada pilihan raya 2016, SUPP mampu menambah satu kerusi semula untuk menjadikan jumlah keseluruhan kerusi dimenanginya adalah pada tujuh.

Perpecahan SUPP bentuk UPP

Sementara itu SUPP tidak juga lali daripada masalah dalaman.  Kejatuhan beberapa kerusi di bandar Kuching pada pilihan raya tahun 2006 memulakan bibit-bibit krisis dalaman SUPP.  Namun demikian isu ini berjaya diselesaikan apabila semua pihak dalam SUPP memberi sokongan kepada kepimpinan Tan Sri George Chan.  Namun demikian krisis dalaman SUPP muncul semula yang membawa perpecahan dalam kepimpinan SUPP apabila terbentuknya United People’s Party (UPP) pada tahun 2014. 

SUPP menentang kemasukan UPP sebagai sebahagian daripada kompenan BN Sarawak.  Namun demikian kerajaan pimpinan negeri Sarawak pada ketika itu, iaitu Tan Sri Adenan Satem berpegang pada prinsip perpaduan dan mahukan isu SUPP dan UPP diselesaikan dengan baik.

UPP kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan menyatakan ia sebagai parti bebas daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

PSB menjadi lawan terbaharu bagi SUPP selain daripada DAP.  Namun demikian kekuatan lawan baharu SUPP ini belum lagi diuji kerana belum lagi menyertai mana-mana pilihan raya.

Pimpinan baharu SUPP

Sementara itu pimpinan baharu SUPP di bawah Dato Sri Dr Sim Kui Hian mempunyai perancangan sendiri dalam membangunkan semula SUPP. Di bawah beliau, muka-muka baharu dan muda mula ditampilkan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Manakala agenda SUPP juga mula distruktur semula dengan penekan kepada menjaga hak negeri Sarawak.  Hal ini banyak ditegaskan oleh beliau semasa pilihan raya yang lalu.

Atas usaha gigih beliau memantapkan SUPP, beliau berjaya memenangi kerusi DUN Batu Kawa pada pilihan raya negeri 2016.  Jalan berliku SUPP ini masih lagi mendebarkan kerana DAP kembali menyerlah dalam pilihan raya umum 2018. 

Sejarah menunjukkan bahawa SUPP merupakan parti yang cukup kental kerana SUPP pernah menjadi pembangkang dan ia juga pernah melalui liku-liku perjalanan politik yang mencabar.  Pengalaman ini mungkin menjadi bekalan kepada parti tertua ini berhadapan dengan cabaran mendatang.