Elak datang terlalu awal untuk vaksinasi

PANTAU… Datuk Lee Kim Shin semasa mengadakan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Dato Permaisuri Permyjaya di Miri.

MIRI : Para penerima suntikan vaksin Covid-19 dinasihatkan tidak hadir terlalu awal dan memadai 15 minit hingga 30 minit  sebelum dijadualkan bagi mengelak kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato Permaisuri Permyjaya di sini.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, kesesakan disebabkan kekeliruan mengenai janji temu yang ditetapkan sehingga mengakibatkan kawasan luar PPV itu sesak dengan orang ramai dan kenderaan.

“Kita mendapati ada penerima datang ke PPV ini pukul 8.00 pagi ke 9.00 pagi tetapi janji temu menerima vaksin adalah antara  11.00 pagi ke 12.00 tengah hari.

 “Ini menyebabkan kesesakan. Penerima vaksin diingatkan jangan datang terlalu awal. Sila ikut masa janji temu yang telah ditetapkan dan seeloknya hanya datang ke PPV 15 hingga 30 minit lebih awal sudah mencukupi,” katanya selepas mengadakan pemantauan  ke PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya pada Ahad.

Lee berkata, beliau juga telah berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambahbaik keadaan di PPV tersebut.

Beliau juga telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah beberapa kemudahan lain di PPV itu seperti khemah, kerusi, meja, kipas, papan tanda serta penghadang laluan bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai dan dalam masa yang sama garis panduan (SOP) pencegahan COVID-19 dapat dipatuhi dengan baik.

 PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya merupakan antara PPV yang menampung kapasiti penerima vaksin yang besar iaitu sehingga 1,000 sehari dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam selepas PPV Dewan Eastwood yang mempunyai kapasiti 1,400 orang.

Hadir sama, Pengerusi JPBB Miri yang juga merupakan Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Ketua PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya Dr Hiew Sing Yee, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tudan Dr Maurice Steve Utap dan Jurutera JKR  Calvin Dawil.

Oleh LIONG CHAI LING