Polis tumpas Geng Bhai

RAMPAS… ACP Afzanizar Ahmad (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas dari Geng Bhai yang aktif melakukan jenayah pecah tapak binaan di negeri Melaka, pada sidang akhbar, semalam. • Foto BERNAMA

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan satu kumpulan pecah rumah contoh dan tapak binaan serta mencuri peralatan serta bahan binaan, yang didalangi Geng Bhai melibatkan sembilan kes dengan anggaran kerugian kira-kira RM500,000, sejak Mac tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, empat anggota geng berkenaan yang didalangi seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dikenali sebagai Bhai, ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah itu pada antara 12.20 pagi hingga 12.50 pagi, 3 Jun lepas.

“Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki berusia 21 hingga 45 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana, manakala ketua geng berkenaan iaitu Bhai dan teman wanitanya berusia 22 tahun ditahan di sebuah hotel di Batu Berendam.

“Geng Bhai menyasarkan tapak binaan yang ditinggalkan atau tidak beroperasi, khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak Mac tahun lepas dan sebuah rumah contoh di sekitar Tanjung Minyak, Malim dan Tengkera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini semalam.

Beliau berkata bahan binaan, jentera dan peralatan yang dicuri di tapak tersebut dijual, di pasaran terbuka kepada individu yang berminat dan selain dipercayai turut dijual kepada kedai barangan lusuh.

Katanya, ketua geng berkenaan mempunyai 12 rekod lampau membabitkan jenayah dan 10 kes membabitkan dadah, manakala empat lagi ahli geng berkenaan turut mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Afzanizar berkata, kesemua suspek berkenaan merupakan penganggur dan hasil barangan curi berkenaan digunakan untuk menampung belanja harian serta membeli dadah, dengan kesemua ahli geng tersebut direman selama 12 hari bermula 3 Jun, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk.

— Bernama