MARii ERP bantu pendigitalan operasi PKS

CYBERJAYA: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengumumkan ketersediaan platform MARii Enterprise Resource Planning (MARii ERP) bagi memacu pendigitalan operasi perniagaan, terutamanya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS).

MARii ERP merupakan platform atas talian bagi syarikat-syarikat menguruskan fungsi-fungsi utama perniagaan di bawah satu platform, termasuk Pengilangan, Jualan & Logistik, Pengurusan stok & inventori, Perolehan dan Perakaunan

Sistem MARii ERP yang dibangunkan MARii (sebuah agensi MITI) dapat mengautomasikan proses pentadbiran manual melalui pendigitalan simpanan rekod, pemusatan maklumat dan menyatukan pesanan jualan sehingga penghantaran di dalam satu sistem yang dapat diakses dan digunakan oleh pelbagai fungsi di dalam suatu perusahaan.

Sebagai contoh, pengilang dapat menggunakan sistem MARii ERP untuk membolehkan pasukan jualan untuk menyatukan data jualan yang digunapakai oleh bahagian pengilangan dalam merancang operasi, inventori dan logistik, dan akhirnya direkodkan oleh jabatan kewangan secara real-time.

“Paling penting, sistem MARii ERP membolehkan perniagaan mengoptimumkan penggunaan sumber – memastikan tenaga kerja, infrastruktur dan peralatan digunakan untuk menambah nilai kepada operasi, dan tidak dibazirkan kepada aktiviti tanpa nilai yang kini dapat dielakkan melalui digitalisasi”, ujar CEO MARii, Dato’ Madani Sahari.

Dato’ Madani menjelaskan bahawa pandemik ini telah mengakibatkan gangguan kepada ekonomi, terutamanya apabila negara perlu memilih di antara nyawa dan kehidupan semasa menguruskan pandemik. Walaupun sesetengah operasi perlu dilakukan di premis perniagaan, banyak PKS mengalami kesukaran melaksanakan kerja dari rumah kerana kekurangan sumber di dalam mendigitalisasikan operasi yang sepatutnya dapat dibuat secara atas talian.

“Sistem MARii ERP mewujudkan suatu persekitaran operasi perniagaan berdasarkan data, dan yang paling penting, tidak dikekang oleh lokasi dan kawalan pergerakan selagi terdapat sambungan ke internet – selaras dengan usaha kerajaan ke arah pendigitalan perniagaan”, katanya.

Syarikat-syarikat yang berminat memulakan pendigitalan operasi juga boleh mengikuti pelbagai program anjuran MARii bagi meningkatkan kebolehan dan keupayaan operasi mereka. Ini membolehkan mereka memanfaatkan sistem MARii ERP sepenuhnya, sebagai platform pusat bagi transformasi digital syarikat. Di antara program-program ini adalah Technopreneur Development Programme (TDP), MARii Lean Production System (LPS), MARii Industry4WRD Technology Platform (MITP), CEO/Owner Growth Mindset Programme (COGMP) dan banyak lagi.

Melalui ekosistem program-program MARii yang dipacu melalui sistem MARii ERP, MARii dapat menyesuaikan sistem dan menugaskan pakar kepada syarikat, yang akan mengkaji dan mengenal pasti proses-proses manual yang boleh melalui proses pendigitalan.

“Sistem MARii ERP ditawarkan pada kadar langganan yang mampu milik, dan kami boleh membantu syarikat-syarikat mencapai pulangan pelaburan dalam beberapa bulan sahaja”, tambah Dato’ Madani.

Bagi yang berminat, boleh berhubung melalui info@marii.my .-Bernama