PELAN PEMULIHAN NEGARA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 merangkumi empat fasa yang akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen petang semalam.

Muhyiddin berkata, setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Muhyiddin berkata, antara aktiviti dibenarkan semasa fasa kedua ialah pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi  seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Bagi fasa ketiga (September – Oktober), perdana menteri berkata semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup.

Beliau berkata, fasa itu boleh digerakkan sekiranya Malaysia berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, katanya

Pada fasa ketiga, semua sektor ekonomi akan dibenar beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat, kata Muhyiddin.

Beliau berkata, di bawah fasa ketiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenar beroperasi tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan had kapasiti.

Senarai negatif yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan penjarakan fizikal tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Namun, Perdana Menteri berkata, kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya divaksinasi.

Malaysia melaksanakan PKP 3.0 apabila kes baharu harian Covid-19 terus melonjak tinggi yang menyebabkan perniagaan terpaksa menutup sementara operasi mereka.

Bagaimanapun, industri makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan, utiliti air dan tenaga, pengangkutan termasuk pelabuhan dan lapangan terbang yang merupakan kategori perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP 3.0 yang bermula 1 Jun dan baru-baru ini dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. 

Ini telah menyebabkan firma penyelidikan dan agensi penarafan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka bagi Malaysia. 

Maybank Kim Eng Research telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi 2021 kepada 4.2 peratus daripada 5.1 peratus sebelum ini berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan yang lebih ketat bulan lepas dan sekatan penuh bulan ini.

Firma penyelidikan itu menyatakan semakan menurun itu terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan rendah bagi perbelanjaan perkhidmatan dan perbelanjaan.

KDNK Malaysia menyusut 5.6 peratus tahun lepas berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada 2019.

Setakat Selasa lalu, Malaysia mencatatkan 5,419 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sejak pandemik itu bermula kepada 667,876 kes. –Bernama