Liputan penuh bekalan air, elektrik 2025

MESYUARAT… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri, atas) mempengerusikan mesyuarat pemantauan projek Pasukan Petugas Utiliti Negeri pada Isnin lalu.

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak menyasarkan untuk mencapai liputan bekalan air dan elektrik menjelang 2025.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, antara agensi pelaksana yang terlibat ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu, LAKU Management Sdn. Bhd. dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Untuk bekalan air dan elektrik, inisiatif jangka pendek hingga jangka panjang di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak, Program Grid Air Negeri dan Pelan Induk Elektrikasi Luar Bandar Sarawak dilaksanakan sejak 2018.

“Sistem Bekalan Grid Air Sarawak di Kawasan Tertekan yang dibiayai oleh Projek Rakyat akan meningkatkan bekalan air semasa di Sarawak sekali gus mengatasi masalah air,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pemantauan projek Pasukan Petugas Utiliti Negeri semalam.

Mengulas lanjut beliau mengatakan di bawah program Projek Rakyat untuk air, sejumlah RM4 bilion diperuntukkan untuk 321 projek bekalan air yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah kebolehpercayaan bekalan air di kawasan tertekan air dan menyediakan bekalan air minum kepada mereka yang tidak mendapat kemudahan asas ini.

Malah sehingga kini 165 projek diselesaikan sementara 156 projek lagi dijangka selesai sepenuhnya pada 2023.

“Penyelesaian semua projek ini akan meminimumkan masalah bekalan air segera di kawasan yang mengalami tekanan air dengan meningkatkan jumlah air terawat yang disampaikan kepada pengguna dan meningkatkan tekanan bekalan air.

“Sejumlah RM2.37 bilion diperuntukkan untuk Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan meningkatkan kemudahan grid utama ke luar bandar dan pembinaan sub stesen baharu untuk membekal elektrik di kawasan luar bandar,” katanya.

Selain itu sejak 2019, lima sub stesen telah siap dan beroperasi sepenuhnya di Batang Ai, Pakan, Julau, Ng. Ngungun dan Sebauh sementara lima lagi sedang dalam pembinaan di Tatau, Kanowit, Dalat, Sangan dan Belaga.

Manakala dua sub stesen lagi akan mula dibina di Long Lama dan Bakelalan selepas pengambilalihan tanah selesai.

“Bagi kampung atau rumah panjang yang terlalu jauh untuk dihubungkan dengan sistem grid utiliti ini atau tanpa jalan raya yang betul untuk membina sambungan air dan elektrik, Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES)

“Sistem luar grid yang berdiri sendiri ini membolehkan rakyat di kawasan terpencil menikmati kemudahan ini tanpa perlu menunggu sistem grid, yang akan memakan masa yang lebih lama kerana bergantung kepada aksesibilitas ke kawasan-kawasan ini,” jelasnya.

Katanya, kerajaan komited untuk mencapai liputan penuh untuk kemudahan ini pada tahun 2025.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk sampai ke kawasan pedalaman luar bandar dengan terhad atau tidak mempunyai akses yang betul dan diburukkan lagi dengan wabak Covid-19 yang mengganggu pelaksanaan banyak projek dan melambatkan ianya selesai,” katanya lagi.

Oleh JEAKQLEYN YACHO