Sarawak, penerima vaksin Covid-19 tertinggi

KUCHING: Sarawak merupakan antara lima negeri dan wilayah di Malaysia yang setakat ini telah menerima bekalan vaksin Covid-19 tertinggi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Nasional (PICK).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak telah menerima sebanyak 697,736 dos daripada keseluruhan 5,955,092 dos vaksin yang telah diedar di seluruh Malaysia.

“Kita turut mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Penyelaras Program PICK, Khairy Jamaluddin, yang bercakap di sidang media Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) baru-baru ini bahawa pengedaran vaksin tertinggi di Malaysia adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 902,690 dos.

“Selain itu, Selangor menerima 898,230 dos, Sarawak 697,736 dos, Johor 547,280 dos, dan Sabah 503,590 dos,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, sebelum ini Khairy juga menyatakan bahawa setakat ini, pendaftaran untuk Tahap 2 dalam PICK telah mencapai sejumlah 4,531,790 individu, di mana 2,458,432 adalah warga emas sementara jumlah mereka yang telah menerima tarikh temu janji mereka adalah 2,437,168 individu.

Menurutnya, kadar vaksinasi keseluruhan negara terus meningkat di mana ianya mencatatkan kadar 100,000 dan lebih dos sehari. Pada puratanya, jumlah dos yang telah diberi pada minggu lalu (dari 7 hingga 13 Jun), ialah 130,842 dos sehari.

“Perkara ini menggembirakan kita semua kerana terdapat jumlah peningkatan berbanding 94,481 dos sehari pada minggu sebelumnya dengan jumlah dos vaksin yang diberikan setakat ini adalah sejumlah 4,490,270,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah menyebut kepada rakan-rakan media tempatan bahawa Kerajaan Sarawak hanya akan membenarkan pendekatan ‘suntik dahulu dan daftar kemudian’ dalam program vaksinasi Covid-19 sedia ada untuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Ini kerana pendekatan ini adalah untuk memudahkan penduduk luar bandar kita terutama di rumah panjang dan kampung kampung untuk mendaftarkan diri setelah mendapat vaksinasi. Pihak Jabatan Perubatan Negeri Sarawak pula akan menasihati mereka untuk berkumpul di pusat kesihatan atau sekolah strategik untuk proses vaksinasi,” katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO