Muhyiddin, JKBD 2021 menghadap Agong

KENDERAAN yang membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menjelang Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung hari ini (16 Jun), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam. 

Kenderaan membawa Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu utama pada 2.20 petang, dan beredar meninggalkan Istana Negara pada 3.30 petang.

Sesi sembah maklum oleh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu semalam mempunyai kaitan dengan sesi pertemuan pemimpin parti-parti politik yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak Rabu lepas.

Seramai 18 pemimpin parti politik menghadap secara bersemuka dan maya di Istana Negara sehingga petang semalam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat (JKBD) 2021 Tun Arifin Zakaria dan beberapa ahli jawatankuasa itu turut menghadap Seri Paduka pada sebelah pagi.

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu dianggotai 19 individu yang terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Hari ini (16 Jun), tumpuan bakal terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara bagi membincangkan soal berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari 2019.

Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu adalah pada 25 Oktober tahun lepas. – Bernama