Rasuah pinjaman peribadi, kakitangan bank direman

EMPAT dari tujuh kakitangan bank dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara 2018 hingga 2020. • Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Seorang lagi kakitangan sebuah bank tempatan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi berjumlah RM18 juta antara 2018 hingga 2020.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Parvin Hameedah Natchiar terhadap lelaki berusia 35 tahun itu, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.

Lelaki tersebut ditahan di pejabat SPRM Selangor pada 4.05 petang Isnin lepas, selepas diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan lanjutan reman selama empat hari bermula semalam, terhadap enam lagi kakitangan bank yang telah direman pada Rabu lepas.

Terdahulu kesemua lelaki itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 9.40 pagi.

Pada 8 Jun lalu, SPRM menahan enam individu yang bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada 110 pinjaman pembiayaan peribadi bernilai lebih kurang RM18 juta. – Bernama