Varian Delta ancam Indonesia

PENUMPANG dan pemandu kenderaan dari Pulau Madura mendapatkan ujian calitan untuk Covid-19 sebelum memasuki wilayah Surabaya. • Foto AFP

JAKARTA: Indonesia menjangkakan gelombang baharu jangkitan Covid-19 memuncak pada awal Julai, berikutan varian Delta yang sangat mudah menular kini dominan di beberapa kawasan, lapor AFP.

Pada masa yang sama, ruang rawat di hospital-hospital di Jakarta sudah berada pada tahap 75 peratus.

Jangkitan Covid-19 di negara keempat paling padat populasi di dunia itu merekodkan kenaikan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya selepas cuti Lebaran lalu yang menyaksikan jutaan rakyatnya membelakangkan perintah sekatan pergerakan.

Varian Delta itu dilaporkan lebih dominan di wilayah seperti Jakarta dan beberapa bahagian lain di Pulau Jawa, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin dala sidang media pada Isnin.

Sekurang-kurangnya 60 kes varian itu dikesan di Kudus, Jawa Tengah, dan hospital-hospital di situ sudah lebih 90 peratus penuh, menurut jurucakap Jawatankuasa Bertindak Covid-19 Indonesia, Wiku Adisasmito.

Pada Ahad, Gabenor Jakarta Anies Baswedan berkata, kadar kepenuhan hospital di bandar raya itu sudah mencecah 75 peratus manakala kes jangkitan melonjak 50 peratus dalam tempoh seminggu.

Jika keadaan bertambah buruk, Anies memberitahu, pihak berkuasa terpaksa mempertimbangkan seula larangan dan sekatan tertentu bagi menangani Covid-19.

“Ibu kota saat ini dalam keadaan yang memerlukan perhatian ekstra. Apabila situasi sekarang tak terkendali, kita akan masuk ke fasa genting.

“Jika fasa itu terjadi, maka kita harus ambil langkah drastik seperti yang pernah dialami pada bulan September tahun lalu dan Februari lalu. Kita semua tentu tidak mahu peristiwa itu berulang,” ujarnya dalam akaun Facebook rasminya.

Pihak berkuasa merancang meningkatkan kapasiti hospital sehingga 40 peratus di Jakarta, semetara hotel-hotel akan dijadikan pusat kuarantin, kata Menteri Ekonomi Airlangga Hartarto.

Indonesia secara rasmi mencatatkan lebih 1.9 juta kes jangkitan koronavirus dengan 53,116 kematian, walaupun ada kajian menunjukkan itu bukan skala sebenar kes di republik berkenaan.

Pada Ahad lalu, Indonesia merekodkan hampir 10,000 kes harian Covid-19, iaitu yang tertinggi sejak Februari.-AFP