Perubahan jadual dipersetujui, adil

TINGKAT KECERGASAN … Pemain SUFC menjalani latihan pasukan baru-baru ini. (Gambar ihsan SUFC).

PASUKAN Liga Malaysia (Liga M) bersetuju dengan jadual baharu yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), yang memberikan ruang masa yang mencukupi buat mereka, sebelum menyambung semula saingan pada bulan depan.

MFL dalam satu kenyataan baru-baru ini telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia kembali bersambung pada Julai depan di mana kempen Liga Premier 2021 bermula 3 Julai 2021 manakala tirai Liga Super 2021 kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

Bagi Penolong Pengurus Sarawak United FC (SUFC), Abang Suhordie Abang Zaini berpendapat, jadual tersebut adil untuk semua pasukan dan memberikan lebih masa untuk mempersiapkan diri, memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

Apatahlagi skuad ‘Kenyalang Emas’ itu belum lagi memulakan latihan secara ‘Camp Based Training’, beliau mengakui lebih banyak masa diperlukan untuk menghadapi baki saingan Liga Premier 2021.

“Bagi saya, MFL melakukan keputusan yang adil memutuskan jadual baharu ini kerana sekarang pun masih PKP, dan kami pun masih belum mula berlatih secara berpasukan, jadi ada masa lagi untuk bersedia dengan lebih baik.

“Namun, bagi perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk, saya belum mendapat kepastian dan maklumat lanjut mengenai persiapan pasukan setakat ini, kerana Sarawak masih lagi PKP,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Abang Suhordie menjelaskan, pemain SUFC kini difahamkan telah menjalani latihan secara individu di kediaman masing-masing yang akan dipantau oleh jurulatih.

“SUFC sepatutnya menyambung semula sesi latihan berpasukan pada hari ini (semalam), namun atas faktor Sarawak masih melaksanakan PKP, maka pemain telah diarahkan menjalani latihan kendiri di kediaman masing-masing,” ujarnya.

Namun, beliau tetap berharap agar mereka (SUFC) dapat melakukan perlawanan persahabatan terlebih dahulu sekiranya PKP berakhir lebih awal untuk sekurang-kurangnya pemain dapat merasai aksi sebenar di padang selepas berehat hampir dua bulan.

“Bagi saya, SUFC tiada isu dengan jadual ini dan persiapan juga berjalan dengan lancar, cuma kalau boleh kami berharap dapat melakukan satu atau dua aksi persahabatan sebelum sepak mula.

“Sekurang-kurangnya, kita dapat tengok tahap kecergasan fizikal pemain yang sebenar jika mereka beraksi dalam perlawanan persahabatan dan itu sahajalah harapan daripada saya,” jelasnya.

Tarikh baharu perlawanan juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini di antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC ekoran cuaca buruk dan Perak FC II menentang Kelantan FC disebabkan pemain-pemain Kelantan FC diarahkan untuk kuarantin selama 10 hari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat terdapat pemain mereka didapati positif Covid-19.

Tarikh baharu aksi Perak II bertemu Kelantan di Stadium Ipoh, Perak adalah pada 29 Jun 2021 manakala Selangor 2 menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021.

Oleh ADI SAFARMAN