Jumlah kes Covid-19 daripada sektor perkilangan, pembuatan

SANTUNI… Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyantuni penerima vaksin Covid-19 yang sedang mendaftar diri ketika hadir membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) semalam. • Foto BERNAMA

SHAH ALAM:  Hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah daripada sektor perkilangan dan pembuatan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, data yang disahkan Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa 75 peratus daripada kes-kes positif Covid-19 yang ada pada hari ini adalah bersifat sporadik, yang bermakna virus berkenaan telah berada di dalam komuniti.

Mohamed Azmin berkata, 25 peratus lagi datang daripada pelbagai bentuk kluster, termasuk kluster tempat kerja yang meliputi sektor perkilangan dan pembuatan.

“Jadi tidak benar untuk meletakkan kesalahan pada sektor ekonomi khususnya sektor pembuatan,” katanya, kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini semalam.

Mohamed Azmin berkata, apabila kerajaan mengambil keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi, kebarangkalian jangkitan Covid-19 berlaku dalam sektor ekonomi itu ada, tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya, tetapi keputusan itu dibuat untuk kepentingan ekonomi rakyat.

 “Sektor ekonomi, khususnya untuk ‘essential goods and services’, kita telah ambil keputusan  membenarkan sedikit aktiviti ini, untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Apabila ada aktiviti ini (ekonomi) kebarangkalian (jangkitan Covid-19) pastinya wujud, tetapi jumlahnya tidaklah besar seperti yang telah diumumkan (daripada keseluruhan kes), kerana virus ini sudah sporadik, berada dalam masyarakat. Sebab itu kita mengajak untuk sama-sama tangani, masalah pandemik ini dengan mematuhi kepada prosedur operasi standard yang ketat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terlibat sebagai rantaian bekalan global, dan kerajaan tidak mahu ada gangguan terhadap bekalan makanan, keperluan asas serta barangan kesihatan awam, seperti sanitizer dan produk farmaseutikal yang lain.

Dalam pada itu, katanya Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), buat masa ini melibatkan sektor pembuatan serta perkilangan, dan kerajaan akan menumpukan pula kepada sektor pembinaan dan pelancongan dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin turut mengumumkan, seramai 16,564 pekerja telah menerima suntikan vaksin di Pulau Pinang, Johor dan Selangor menerusi PIKAS sejak 16 Jun hingga semalam.

— Bernama