KWSP perkenal i-Citra

PENGELUARAN i-Citra meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Fasa Satu Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Fasa Satu Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos 2021,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Muhyiddin berkata pelaksanaan i-Citra merupakan keputusan yang sukar kerana kerajaan sedar, itu adalah simpanan hari tua rakyat.

Beliau berkata penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah di antara keperluan mendesak hari ini dengan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

– Bernama