WHO kecam kegagalan global beri akses vaksin

TEDROS berkata, negara-negara kaya telah membuka semula kehidupan sosial dan memberi vaksin kepada golongan tidak berisiko tinggi sedangkan negara miskin mengalami kekurangan vaksin. • Foto AFP

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO): PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam kegagalan global berkaitan akses kepada bekalan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, negara-negara kaya telah membuka semula kehidupan sosial masyarakat dan memberi vaksin kepada golongan muda yang tidak berisiko tinggi.

Bagaimanapun, negara-negara miskin dibiarkan dengan kejam mengalami kekurangan dos vaksin Covid-19.

Tambahnya, situasi di Afrika menyaksikan jangkitan dan kematian baharu melonjak hampir 40 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Keadaan itu dianggap sebagai sangat berbahaya kerana varian Delta kini telah tersebar di seluruh dunia.

“Dunia telah gagal, sepertimana komuniti global, masyarakat juga dianggap gagal,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Tedros mengecam negara-negara yang enggan berkongsi dos dengan negara-negara berpendapatan rendah.

Beliau membandingkannya dengan krisis HIV/AIDS ketika ada yang berpendapat bahawa negara-negara Afrika tidak dapat menggunakan rawatan rumit.

“Sikap sebegitu tidak sepatutnya berlaku lagi ketika ini. Masalah sekarang ialah bekalan, jadi, berikanlah bekalan vaksin itu,” katanya.

Katanya lagi, perbezaan antara negara yang mempunyai vaksin dan tiada vaksin ketika ini memperlihatkan ketidakadilan dan ketidaksamarataan dunia ini serta ini yang perlu dihadapi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program Kecemasan WHO Dr Mike Ryan berkata, banyak negara membangun jauh lebih baik daripada negara industri dengan melakukan vaksinasi besar-besaran terhadap penduduk, bagi melindungi dari penyakit berjangkit seperti kolera dan polio.

COVAX yang dikendalikan bersama pakatan vaksin GAVI dan WHO telah memberikan 90 juta dos vaksin Covid-19 ke 132 negara sejak Februari.

Namun, program itu menghadapi masalah bekalan utama sejak India menangguhkan eksport vaksin.

Penasihat Kanan WHO Bruce Aylward berkata, program COVAX bulan ini mempunyai sifar dos vaksin AstraZeneca, Johnson & Johnson dan daripada Serum Institute of India.-AFP