808 ATLET, JURULATIH SUKMA DIVAKSIN

TINJAUAN… Datuk Abdul Karim Hamzah (tengah) turut berjumpa dengan para atlet dan jurulatih yang telah mendapatkan vaksin Covid-19 di PPV Stadium Perpaduan Kuching.

SEBAGAI persediaan ke Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan pada Julai 2022 di Johor, kesemua atlet Sarawak telah disuntik vaksin Covid-19.

Seramai 808 atlet sukan dari 31 jenis sukan dan acara yang berbeza yang juga melibatkan para jurulatih dan juga pegawai negeri telah mendapatkan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Kuching semalam.

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Hamzah berkata, Sarawak merupakan negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk memberikan vaksin kepada para atlet dan juga jurulatih sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Ia juga untuk memastikan latihan dan persedian mereka berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan, katanya.

“Fasa pertama vaksinasi untuk para atlet dan jurulatih kita di mana 154 daripadanya bersama-sama dengan 41 orang jurulatih elit telah mendapatkan suntikan pertama.

“Kerajaan Sarawak melalui MYSS dan SSC bertekad dan mengambil serius dalam setiap kelengkapan fasiliti, latihan dan persedian para atlet negeri yang akan menerajui cabaran kita di arena sukan peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau juga mezahirkan penghargaan kepada Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia dan barisan hadapan dan juga para sukarelawan dalam memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar.

Oleh AZREEN KERIA