Czech akhiri impian Belanda

PEMAIN tengah Republik Czech, Tomas Holes (kanan) menjaringkan gol semasa perlawanan pusingan kedua Euro 2020 antara Belanda dan Republik Czech di Puskas Arena di Budapest. • Foto AFP

SEPULUH pemain Belanda menyaksikan impian Euro 2020 mereka berakhir dengan gol daripada Tomas Holes dan Patrik Schick memberikan Republik Czech kemenangan 2-0 di Budapest semalam.

Kekalahan di ibu negara Hungary muncul awal dalam separuh kedua yang tidak memihak kepada pasukan Frank de Boer.

Donyell Malen dinafikan oleh Tomas Vaclik setelah berjaya melepaskan diri dan mendapati dirinya hanya perlu nenewaskan penjaga gawang Czech dan kemudian pemain tengah Belanda, Matthijs de Ligt dibuang padang selepas tinjauan VAR kerana sengaja menampan  bola dengan tangan.

Holes membuka jaringan pada minit ke-68 dan pemain tengah Slavia Prague yang berusia 28 tahun kemudian mencipta gol kedua dengan perlawanan berbaki 10 minit, menerkam bola dan meluru masuk untuk melakukan hantaran kepada Schick.

Itu merupakan gol keempat Schick dalam Euro 2020 setakat ini dan Republik Czech, yang berada di kedudukan ke-40 dunia, kini melangkah ke suku akhir dan akan menentang Denmark di Baku, Ahad depan, 4 Julai.

“Kami mungkin bukan bintang besar seperti Belanda tetapi kami menunjukkan semangat berpasukan yang hebat dan itulah yang membuat perbezaan,” kata Schick.

Denmark memperoleh tempat mereka dalam suku akhir dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Wales di Amsterdam pada Ahad sebelum Itali menyertai mereka dengan mengalahkan Austria 2-1 selepas masa tambahan di Wembley.

Sementara itu, inkues akan dimulakan di Belanda dengan penampilan pertama mereka dalam kejohanan besar sejak Piala Dunia 2014 berakhir dengan kekecewaan setelah beberapa persembahan yang memberansangkan dalam peingkat kumpulan.

Dengan pemenang Euro 1988 pulang, De Ligt memikul tanggungjawab berikutan kad merah yang dikenakan ke atas beliau.

“Saat ini mengubah permainan dan saya merasa bertanggungjawab. Saya melihat bagaimana mereka berjuang dan saya bangga dengannya. Tetapi saya berasa tidak senang dengan kejadian itu,” kata De Ligt kepada penyiar awam Belanda NOS.

Sementara itu, persiapan berterusan menjelang pertemuan pusingan kedua Rabu ini antara England dan musuh lama Jerman di London.

England akan mencari kemenangan pertama mereka ke atas Jerman dalam pertandingan kalah mati kejohanan utama sejak final Piala Dunia 1966, sesuatu yang cuba diketepikan oleh pengurus mereka Gareth Southgate semalam.

“Saya tidak perlu mengungkapnya. Sejarah tidak relevan bagi mereka,” katanya mengenai pemainnya. – AFP