UNIFOR agih RM8.5 juta kepada empat jawatankuasa

TERIMA KASIH… Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan cek bernilai RM2 juta kepada Sahrein Maloh yang menerimanya bagi pihak Ripin Lamat untuk dana bangunan Gereja St Barnabas, Miri.

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) semalam mengagihkan geran kepada empat jawatankuasa daripada pelbagai badan agama dan rumah ibadat bukan Islam untuk tahun ini dengan jumlah keseluruhan RM8.5 juta.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan menteri yang menjaga UNIFOR menyerahkan geran berkenaan di pejabatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr. Hazland Abang Hipni mewakili Persatuan Kuching Hokkien dalam menerima cek untuk pemberian RM1.5 juta untuk pembinaan Tokong Mazu di sini.

ADUN Tellian, Yussibnosh Balo, yang mewakili jawatankuasa Chapel Tellian St Anthony di Mukah, menerima geran sebanyak RM2juta untuk pembinaannya sementara seorang anggota Dewan Negara, Senator Datuk Paul Igai mewakili Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing juga mendapat geran RM2 juta untuk pembinaan jalan menuju ke perkuburan Kristian Kuala Setiam di Bintulu.

Sementara itu, Gereja St. Barnabas di Taman Tunku di Miri diperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk dana pembinaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat diwakili oleh seorang pembantu, Sahrein Maloh, ketika menerima cek untuk pemberian tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan peruntukan ini kepada jawatankuasa itu semasa lawatan kerjanya ke Miri sebelumnya.

Pada majlis berkenaan, UNIFOR  juga memperuntukkan geran bernilai RM1 juta untuk Chapel Roh Kudus Baru di Permyjaya di Miri kepada ADUN Senadin, Datuk Lee Kim Sin diwakili oleh Setiausaha Perundangannya, Seng Hoon ketika menerima cek untuk pemberian tersebut.

“Pengagihan kedua akan melibatkan geran berjumlah RM17 juta,” katanya, sebelum majlis bermula.

Douglas Uggah turut meminta semua perwakilan yang terpilih untuk terus menasihati penduduk mereka untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam melindungi diri mereka dari pandemik Covid-19.

“Selalulah berada di lapangan untuk memeriksa kebajikan dan kesejahteraan mereka dan yang paling penting, pastikan mereka mendapat suntikan vaksin juga,” tambahnya.

Uggah yang juga ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) mengatakan bahawa penduduk di negeri ini sangat beruntung kerana Kerajaan Negeri tidak hanya sangat proaktif tetapi sangat komited dalam memerangi wabak itu dan melancarkan program vaksinasi.

Turut hadir sama pada majlis penyerahan tersebut ialah Pengarah UNIFOR Richard Lon dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee.

Oleh JEAKQLEYN YACHO