PGA Miri perketat kawalan ‘jalan tikus’

ADENG IDRUS

LAWAS: Pasukan Gerakan Am(PGA) Batallion Ke-12 Miri terus memperketatkan kawalan di laluan ‘jalan tikus’ yang terdapat di Kampung Paterikan Merapok.

Pada masa yang sama, Pemerintah PGA Batallion Ke-12 Miri Supretendent Tan Hiap Seng yang ditemui media sewaktu meninjau ‘jalan tikus’ di Kampung Paterikan Merapok memberitahu kawalan penuh dilakukan di semua pintu masuk daripada Limbang hingga ke Ba’kelalan.

Malahan seramai 20 anggota dengan seorang pegawai telah ditempatkan di sempadan Ba’kelalan dengan Indonesia.

Beliau juga mengesahkan bahawa setakat ini persempadanan antara Sarawak, Sabah dan Kalimantan adalah terkawal.

Walaupun tumpuan sekarang kepada menghalang penularan wabak Covid-19 dilakukan, tugas utama mengawal sempadan tetap diberi perhatian serius oleh PGA.

Bagi Bahagian Limbang, PGA sentiasa dalam keadaan sedia sepenuhnya untuk mengawal semua laluan masuk daripada Limbang, Lawas, Ba’kelalan mahupun di kawasan pendalaman yang jauh.

Beliau menasihatkan orang awam untuk mematuhi arahan kawalan pergerakan dan duduk di rumah sehingga ke satu masa yang ditetapkan.

Setakat ini, perintah kawalan pergerakan hanya akan dilaksana hingga 31 Mac 2020.