i-Citra utamakan pengeluaran dana Akaun 2 ahli

KUALA LUMPUR: Inisiatif i-Citra diwujudkan khusus bagi membolehkan ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran dana simpanan Akaun 2 terlebih dahulu yang disediakan bagi tujuan bayaran pinjaman rumah, perbelanjaan perubatan serta pendidikan.

Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang akses bagi pengeluaran Akaun 1 sebaliknya akan hanya dilakukan sekiranya jumlah simpanan Akaun 2 ahli atau pemohon terbukti tidak mencukupi.

Beliau berkata, semua ahli berusia di bawah 55 tahun adalah layak memohon i-Citra dengan jumlah pengeluaran sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki dalam Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan itu akan dibayar bagi tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 serta tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

“Jika jumlah (simpanan) Akaun 2 tidak mencukupi, barulah kita akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Akaun 1.

“Kami cuba mencari keseimbangan iaitu antara membantu ahli yang memerlukan dan pada masa sama memastikan agar mereka juga mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations’ (Bicara MIDF) secara maya dengan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Datuk Charon Mokhzani, di sini, hari ini.

Kemudahan pengeluaran i-Citra itu merupakan kesinambungan inisiatif KWSP sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Lestari.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata pengeluaran keseluruhan inisiatif i-Sinar dan i-Lestari itu itu berjumlah RM80 bilion.

“Kami (KWSP) ada dan telah diberi mandat untuk membantu ahli selepas bersara…namun pada masa sama, kami turut sedar bahawa pandemik Covid-19 ini satu keadaan luar biasa (di luar jangkaan).

“Oleh itu, kami memahaminya dan akan berusaha mencari jalan untuk membolehkan ahli-ahli, berdasarkan alasan, mendapat akses terhadap dana simpanan masing-masing,” katanya.

Amir Hamzah berkata, perkara utama adalah untuk memastikan bahawa KWSP tidak hilang mandat untuk membantu mereka yang mempunyai dana persaraan.

“Pada akhirnya, perlu diingatkan bahawa kami juga perlu terus menangani isu-isu persaraan ahli.

“Sekiranya kami membenarkan dana ini digunakan sehingga habis, ini sebaliknya akan mewujudkan masalah yang tidak dapat diuruskan.

“Inilah langkah keseimbangan yang perlu KWSP lakukan,” katanya.

Dalam kenyataan pada Isnin, dana persaraan itu menyatakan bahawa ahli boleh mula memohon bagi kemudahan itu menerusi portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my dan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun pada Ogos 2021.

Sejak 1 Januari 2007, ahli KWSP mempunyai dua akaun simpanan berasingan, Akaun 1 dan 2 dengan jumlah caruman berbeza.

Akaun 1 misalnya meliputi 70 peratus daripada caruman bulanan ahli manakala baki 30 peratus adalah untuk simpanan Akaun 2.- Bernama