SAINGAN SUKU AKHIR EURO 2020

PASUKAN England merupakan pilihan untuk muncul juara Euro 2020 kali ini.• Foto AFP

Dengan perlawanan sudah masuk ke peringkat saingan suku akhir, ternyata Kejohanan Euro 2020 kali ini telah mencatat beberapa keputusan yang ‘luar biasa’ lebih-lebh lagi apabila tersungkurnya bekas juara kejohanan lalu, Portugal dalam aksi pusingan kedua tempoh hari.

Portugal tunduk 1-0 kepada Belgium dalam saingan 16 pasukan terbaik menerusi jaringanThorgan Hazard pada babak pertama walaupun turun sebagai pasukan pilihan.

Begitu juga dengan keputusan yang dicatatkan oleh Switzerland yang diluar dugaan apatah lagi lawan yang ditewaskan, Perancis yang juga merupakan juara Piala Dunia menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 pada masa sebenar.

Kylian Mbappe gagal menyempurnakan penalti dalam aksi yang cukup genting itu, meski pada awalnya sudah selesa mendahului 3-1 sebelum masa lapan minit terakhir perlawanan yang mendebarkan sebelum Switzerland berjaya mengikat jaringan dan akhirnya sepakan penalti menjadi penentu.

Kesudahannya, penalti yang diambil Mbappe yang juga bintang Perancis pada Piala Dunia 2018 berjaya diselamatkan penjaga gol Yann Sommer untuk meraikan kejayaan bertemu Sepanyol pada aksi suku akhir.

Manakala Sepanyol turut hampir tersungkur setelah  seri 3-3 dengan Croatia namun jaringan Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal telah memberi ‘nafas’ bagi meraih  kemenangan mutlak 5-3 dalam masa tambahan.

Terdahulu, Itali lebih awal mengesahkan diri layak suku akhir selepas menewaskan Austria 2-1. Begitu juga dengan REPUBLIK Czech yang melakar kejutan apabila  mara ke saingan suku akhir selepas menundukkan Belanda 2-0.

Belanda memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya menguasai aksi 45 minit pertama dengan beberapa siri serangan sehingga memaksa Czech bertahan dalam kawasan sendiri.

Namun, segalanya berubah apabila pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt dibuang padang pada minit ke-55 menafikan peluang gol Czech apabila menggunakan tangan untuk menahan bola.

Czech mengambil peluang tersebut untuk mengambil alih perlawanan dan menghukum Belanda dengan membuka tirai jaringan menerusi tandukan Tomas Holes pada minit ke-68.

Skuad kendalian Jaroslav Silhavy itu mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua yang dijaringkan oleh penggempur utama mereka iaitu Patrik Schick pada minit ke-80 sekali gus meranapkan harapan The Oranje untuk bangkit dalam perlawanan itu.

Seterusnya aksi pertemuan Denmark yang berhadapan Wales menyaksikan anak-anak buah Kasper Hjulmand mencipta kemenangan besar dengan membelasah lawan 4-0.

Dolberg membuktikan ketajamannya sebagai penyerang berbisa Denmark apabila membuka jaringan pada minit ke-27 dengan tendangan lencong menewaskan Danny Ward.

Tiga minit selepas rehat, Dolberg memastikan Denmark berada di kedudukan selesa apabila menambah jaringan hasil kesilapan pemain gantian Wales Neco Williams.

Serangan bertali arus Denmark sekali lagi membuahkan hasil apabila Joakim Maehle meledak gol ketiga pada minit ke-88 dan Martin Braithwaite melengkapkan kemenangan dalam masa kecederaan.

Ia adalah kemenangan pertama Denmark dalam aksi kalah mati Kejuaraan Eropah sejak mereka menjulang trofi itu pada 1992.

Manakala pencapaian terbaik Wales ialah mara ke separuh akhir Euro 2016 pada penampilan pertama di kejohanan berkenaan.

Untuk aksi suku akhir, Switzerland akan menentang Sepanyol manakala Belgium bertemu Itali sekali gus memastikan pemenang antara dua perlawanan ini bakal bertembung dalam saingan separuh akhir nanti.

Dua pasukan terakhir yang mengesahkan slot ke suku akhir ialah England dan Ukraine yang masing-masing menyingkirkan lawan masing-masing.

England akhirnya berjaya menumbangkan Jerman selepas pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini ternyata milik gergasi Eropah itu.

Jaringan Raheem Sterling pada minit ke-75 dan Harry Kane ke-85 memastikan England layak ke suku akhir untuk berhadapan Ukraine yang mengejutkan Sweden dengan jaringan 2-1.

Di atas kertas, laluan antara lapan pasukan ke suku akhir kali ini adalah seimbang apatah lagi tersingkirnya skuad pilihan seperti Potugal, Perancis, Jerman dan Croatia yang dipaksa balik awal.

Kepada peminat dan penyokong bola sepak, siapakah pilihan anda pada edisi kali ini?

Oleh MAHDAR BUJANG