Tagih ‘tuah’ warna hitam

SARAWAK United FC (SUFC) telah memilih warna hitam sebagai jersi ketika beraksi di tempat sendiri (tuan rumah) dalam mengharungi aksi pusingan kedua kempen Liga Premier 2021.

Presiden SUFC, Datuk Posa Majais berkata, pemilihan tema jersi utama berwarna hitam telah mengingatkan kembali kepada perjuangan wira-wira bola sepak Sarawak era Ngap Sayot dan Bujang Senang sekitar 1980 sehingga 90-an.

“Tercetusnya idea rekaan jersi baharu SUFC kali ini tercetus daripada sejarah pasukan Sarawak itu sendiri.

“Jersi utama kami berwarna hitam ini telah mengingatkan kita kembali kepada detik mitos kucing hitam pada zaman 80-an dahulu, yang mana terdapat tuduhan pSarawak menggunakan ‘tangkal’ atau ilmu hitam oleh lawan mereka pada ketika itu.

“Antara yang terkenal ialah mitos kucing hitam,” katanya semasa ditemubual pada rancangan Borak Teh C Peng di TVS, Selasa lalu.

Posa berkata terdapat kepercayaan di kalangan pemain dan penyokong lawan pada ketika itu bahawa Sarawak sedang menggunakan ilmu hitam untuk menang sekiranya seekor kucing hitam tiba-tiba muncul di Stadium Negeri semasa perlawanan berlangsung.

“Dalam mengejar kejayaan, kita tidak boleh lupakan sejarah dan asal usul kita. Tema jersi home Sarawak terbaharu ini telah mengingatkan kita kembali kepada perjuangan wira-wira bola sepak Sarawak terdahulu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai reka bentuk jersi baharu SUFC, Posa menjelaskan jersi berkenaan mempunyai motif yang lebih menyerlah tanpa melupakan elemen-elemen kebudayaan negeri ini.

“Rekaan jersi baharu ini mempunyai Terabai atau Perisai orang Dayak. Ia merupakan salah satu warisan kebudayaan kita di Sarawak ini.

“Seperti sedia maklum, setiap motif pada Terabai itu mempunyai maksudnya tersendiri, dan Sarawak United FC menyerlahkan Terabai itu sebagai tanda pasukan ini akan bermati-matian menjaga maruah negeri kita serta mempertahankan negeri kita ini,” katanya.

Posa turut mendedahkan rekaan jersi baharu SUFC bukanlah direka oleh orang perseorangan, individu atau malah beliau sendiri, namun ia telah direka oleh satu keluarga besar yang merangkumi setiap bahagian di Sarawak.

“Tidak ada seseorang yang spesifik dalam kejayaan rekaan jersi baharu ini. Rekaan kali ini atas kejayaan dan usaha sesama keluarga SUFC.

“SUFC adalah satu keluarga besar yang merangkumi setiap bahagian di Sarawak. Pencetusan idea dan pengeluaran jersi kali ini mengambil kira budaya kita, kejayaan lama kita dan paling penting usaha untuk menaikkan semula kegemilangan bola sepak Sarawak,” tegasnya sambil menambah slogan baharu SUFC bagi musim ini iaitu ‘Encang Sampe Champion’.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan bagi Sarawak United FC, Posa menjawab bagi perancangan jangka pendek pasukan iaitu misi menjuarai Liga Premier 2021, sekali gus mara ke pentas Liga Super musim depan.

“Perancangan jangka panjang SUFC adalah untuk menjadi kelab bola sepak yang stabil dan boleh secara konsisten mencabar mana-mana pasukan ternama dalam arena bolasepak Malaysia.

“Kita perlu realistik, SUFC masih jauh di belakang. Tetapi dengan sokongan semua pihak dan pemegang taruh, sedikit demi sedikit, kita akan kembali membawa kejayaan kepada negeri Sarawak,” tambahnya.

Posa berkata SUFC berbangga kerana menjadi antara pasukan pertama yang ditaja khususnya oleh Stesen televisyen.

“Kehadiran TVS sebagai rakan tajaan SUFC membolehkan kita dapat menyampaikan maklumat terus kepada rakyat Sarawak. TVS is for the Sarawak people.. sama seperti SUFC ini adalah untuk rakyat Sarawak,” ujar Posa.

Jersi baharu SUFC telah menampilkan tiga elemen warna berbeza iaitu, warna hitam yang akan digunakan untuk perlawanan dilaman sendiri, warna biru untuk perlawanan ditempat lawan, berbanding warna merah yang merupakan jersi ketiga untuk skuad kendalian E. Elavarasan musim ini.

Oleh ADI SAFARMAN