Polis rampas syabu, heroin base RM2.1 juta

SIDANG MEDIA … SAC Abdullah Mohammad Piah (kiri) bersama pegawai menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu dan heroin base bernilai RM2.1 juta yang dirampas di kawasan Muka Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat semalam. •Foto BERNAMA

TUMPAT: Polis berjaya merampas 36 kilogram (kg) dadah jenis syabu serta 8.4kg heroin base, yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok berhampiran Pulau Tengkorak, di sini petang 3 Julai.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata, kejadian dikesan pada 4.30 petang, ketika sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, melakukan rondaan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, ketika rondaan dilakukan, anggotanya ternampak kelibat dua lelaki beredar tergesa-gesa dari tebing menaiki bot enjin galah menghala ke Takbai, Thailand.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan anggota mendapati, ada dua bungkusan berada di atas batu di tepi tebing sungai, dan mengesyaki ada sesuatu yang mencurigakan.

“Susulan kejadian itu, pasukan telah bertindak membuat pemerhatian selama 15 jam di kawasan itu, namun tiada sesiapa yang muncul mengambil bungkusan tersebut. Kesemua bungkusan itu dibawa pulang dan hasil pemeriksaan mendapati, di dalam bungkusan itu berisi 36kg dadah jenis syabu serta 8.4kg heroin base,” katanya, pada sidang media di IPD Tumpat, di sini semalam.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai akan diedarkan di sekitar Pantai Barat untuk diproses semula, sehingga jumlahnya semakin banyak.

“Selain bekalan untuk Kelantan, dadah yang dirampas ini juga adalah untuk bekalan di negeri-negeri lain,” katanya.

— Bernama