Mahu ‘dendam’ dilunas

LUIS Enrique memberi arahan kepada anak-anak buahnya semasa Sepanyol menentang Switzerland tempoh hari.• Foto AFP

Tahap keyakinan dan kepercayaan tinggi dimiliki Luis Enrique berjaya membawa Sepanyol ke separuh akhir Euro 2020 namun bekas pengendali Barcelona itu mempunyai misi peribadi yang mahu dilunaskan apabila bertemu Itali dalam aksi kelompok empat terbaik, awal pagi esok.

Kerjayanya ketika bergelar pemain di kejohanan utama sentiasa diingati termasuk insiden dia disiku Mauro Tassotti yang menyaksikan darah mengalir daripada hidungnya sehingga terkena jersi putih Sepanyol yang dipakai pada Piala Dunia 1994.

Tassotti terlepas daripada sebarang tindakan ketika itu – Sepanyol dinafikan penalti pada masa kecederaan dan peluang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan The Azzurri melakar kemenangan 2-1.

Tonggak pertahanan Itali itu bagaimanapun dihukum gantung lapan perlawanan oleh FIFA tetapi ia tidak mengubah keputusan yang menyaksikan Sepanyol tersingkir di suku akhir.

Namun, semuanya berubah pada 2008 apabila kemenangan ke atas Itali dalam aksi lapan terbaik menerusi penalti membuka peluang buat Luis Aragones untuk menjuarai Euro 2008.

Vicente del Bosque kemudiannya membawa Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 dan Euro 2012

Bagaimanapun, dalam tiga kejohanan utama terakhir, pasukan itu gagal melangkah ke suku akhir dengan generasi emas dalam era kecemerlangan semakin dimamah usia.

Keputusan Enrique untuk tidak menyenaraikan bekas kapten, Sergio Ramos pada kempen Euro 2020 menoktahkan terus baki pemain dalam pasukan 2008.

Tanpa Ramos atau mana-mana pemain Real Madrid buat pertama kali dalam skuad Sepanyol di kejohanan utama, akhbar di Madrid mendakwa La Furia Roja akan kekurangan kepimpinan.

“Saya adalah salah seorang ketua seperti jurulatih yang lain,” kata Luis Enrique.”Saya sentiasa mengatakan bahawa kami adalah satu dari lapan pasukan yang akan menang di Kejuaraan Eropah dan kini kami antara empat terbaik.

“Adalah tidak masuk akal bila berada di separuh akhir dan tidak memikirkan untuk melangkah lebih jauh. Itulah objektifnya.” – AFP