Azzurri ‘takluk’ Eropah

PEMAIN pertahanan Itali, Giorgio Chiellini (tengah) menjulang trofi Kejuaraan Eropah setelah Itali memenangi final Euro 2020 antara Itali dan England di Stadium Wembley, London. • Foto AFP

JURULATIH Itali, Roberto Mancini memuji prestasi pasukannya dan berkata Itali ‘menguasai’ England setelah melepsakan gol awal di Wembley semalam untuk memenangi final Kejohanan Euro 2020.

“Kami melakukannya dengan baik. Kami melepaskan gol awal dan bergelut namun kemudian menguasai permainan.

“Pemain begitu hebat, saya tidak tahu apa lagi yang harus saya katakan. Ini penting untuk semua orang dan semua peminat.

“Saya harap mereka meraikannya (di Itali).” kata Mancini kepada RAI Sport setelah kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 setelah masa tambahan.

Leonardo Bonucci membatalkan jaringan Luke Shaw dalam babak kedua dan kedua-dua pasukan tidak dapat dipisahkan dalam masa tambahan.

Ia diteruskan ke penentuan sepakan penalti dengan Gianluigi Donnarumma menyelamatkan dua sepakan setelah percubaan Marcus Rashford terkena palang.

Itali memenangi gelaran untuk kali kedua selepas 1968.

“Sangat luar biasa, ketika saya memikirkan kembali daripada mana kita bermula,” kata pemain pertahanan berusia 34 tahun, Bonucci.

Itali kini dalam rentak 34 perlawanan tanpa kalah, bangkit kembali dengan bergaya setelah mengalami penghinaan kerana gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

“Ketika anda berada di dasar lubang, anda akan melihat bagaimana seorang yang hebat mendapatkan kembali kekuatan mereka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih hebat kami, pasukan hebat kami, negara besar kami. Kami penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan,” tambah Bonucci.

Kapten Giorgio Chiellini berkata “ada sesuatu yang ajaib di udara” sejak kejohanan itu bermula di Rom sebulan lalu.

“Ada yang menitiskan air mata. Kita semua berhak, pada usia ini kita lebih menyedari apa yang dimaksudkan dengan memenangi trofi seperti itu.

“Kami telah bekata bahawa sesuatu yang ajaib ada di udara sejak akhir Mei, hari demi hari,” kata pemain berusia 36 tahun itu.

Donnarumma menggantikan penjaga gawang veteran Gianluigi Buffon setelah kekecewaan kelayakan tiga tahun lalu.

“Kami luar biasa, kami tidak menyerah walaupun satu inci. Kami melakukannya daripada awal, kami sebuah pasukan yang hebat dan kami layak mendapat kejayaan ini,” kata Donnarumma.

“Gol tersebut boleh membunuh kami, tetapi kami sentiasa berwaspada dan tidak pernah berputus asa.” – AFP