62 petani Pantai Damai terima bantuan

BANTUAN… Datuk Abdul Rahman Junaidi membawa sebahagian barang input Pertanian DUN Pantai Damai bertempat di Dewan Kampung Pasir Pandak di Kuching, semalam. • Foto Herriey Naha

KUCHING: Seramai 62 petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai terpilih untuk menerima input pertanian daripada Jabatan Pertanian Sarawak.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, penerima tersebut terdiri daripada petani tradisional dan konvensional yang menjalankan aktiviti pertanian secara sepenuh masa.

Katanya, bantuan yang diterima terdiri daripada baja, mesin penyembur racun, mesin pemotong rumput, kereta sorong dan bakul penyimpanan.

“Kita telah menyenaraikan petani yang menjalankan aktiviti pertanian sepenuh masa sebelum ini.

“Bantuan ini amat diperlukan petani terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya selepas Program Penyerahan Input Pertanian DUN N.4 Pantai Damai semalam.

Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, bantuan tersebut secara tidak langsung dapat membantu petani meningkatkan produktiviti pertanian mereka.

“Usaha ini begitu baik kerana kita menggalakkan lebih ramai masyarakat menjalankan aktiviti pertanian,” ujarnya.

Selain membantu petani menurutnya, Jabatan Pertanian Sarawak turut menyediakan program sokongan seperti khidmat nasihat dan kursus jangka pendek melibatkan fertigasi serta hidroponik.

“Selepas menyertai kursus pertanian, kita dapat melihat ramai masyarakat menjalankan aktiviti pertanian di rumah seperti menanam sayur-sayuran dan buah-buahan,” jelasnya.

Turut hadir Penguasa Pertanian Daerah Kuching Anthony Peter Tula, Penolong Pegawai Pertanian Sarawak Norsiha Gani dan Ketua Kampung (KK) Pasir Pandak Nazeri Idi.

Oleh JEAKQLEYN YACHO