Welfare Task Force terima 1,212 permohonan bakul makanan

SIASAT… Salah seorang anggota pengkuatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil maklumat pemohon bantuan bakul makanan.

MIRI: ‘Welfare Task Force’ telah menyelesaikan sebanyak 867 permohonan bantuan bakul makanan di Bahagian Miri sejak ia ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada 4 Julai lalu.

JPBB Miri dalam satu kenyataan media berkata,  ‘Welfare Task Force’ yang terdiri daripada 15 rakan strategik JKM iaitu daripada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini merupakan usaha perintis pihaknya dalam tempoh PKP untuk menyelesaikan aduan dan rujukan permohonan bantuan bakul makanan selain penyelesaian kepada ‘bendera putih’.

“Berdasarkan laporan sekretariat ‘Welfare Task Force’ iaitu Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, sebanyak 1,212 permohonan bantuan bakul makanan telah diterima untuk tempoh 4 Julai sehingga 14 Julai lalu.

” Sebanyak 867 permohonan telah diselesaikan iaitu masing-masingnya 490 permohonan di Daerah Miri, lima di Daerah Bekenu, dan 372 di lain-lain Daerah dalam Bahagian Miri yang tidak dinyatakan oleh NGO.

“Permohonan selebihnya iaitu sebanyak 345 permohonan yang diterima pada 13 Julai 2021 dalam proses mendapatkan NGO untuk menghantar bantuan bakul makanan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi,  ‘Welfare Task Force’ yang ditubuhkan ini telah menyelesaikan hampir kesemua isu ‘bendera puith’ yang dikesan di Bahagian Miri.

“Berdasarkan rujukan dan aduan yang diterima termasuklah untuk kes ‘bendera putih’ berulang, pegawai JKM akan menjalankan siasatan ke rumah mereka.

” Dengan adanya kolaborasi antara agensi kerajaan bersama NGO,syarikat swasta dan orang awam di bawah ‘Welfare Task Force’ ini, ramai pemohon bantuan bakul makanan yang benar-benar memerlukan telah dibantu, ini termasuk penerima dari kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya ada juga pihak yang mengambil kesempatan melalui trend ‘bendera putih’ ini.

“Berdasarkan hasil siasatan pegawai JKM, mereka yang menaikkan ‘bendera putih’ ini adalah untuk cuba nasib, pengaruh rakan-rakan, pengaruh sosial media malah ada yang menjual semula bantuan bakul makanan yang diterima untuk mendapatkan wang.

“Pihak JKM dan NGO turut diminta agar menasihatkan penerima menurunkan ‘bendera putih’ sebaik sahaja bantuan diterima,” ujarnya.