Khidmat petugas PPV dihargai

BANTU…Haron Mahidi dan Pemanca Lim Guan Ann (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada petugas PPV Dewan Sri Krian di Saratok baru-baru ini.

SARATOK: Kesungguhan para petugas mengendalikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Krian di sini terus dihargai apabila mereka menerima kunjungan Pegawai Daerah Saratok, Haron Mahidi baru-baru.

Menerusi kunjungan berkenaan, beliau telah berkesempatan untuk mendengar taklimat ringkas mengenai proses pemberian vaksin di PPV daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di situ sebelum bertindak menyampaikan sumbangan.

Sumbangan berupa 30 kotak air mineral dan dua tin biskut itu adalah merupakan tajaan Pemanca Lim Guan Ann dan diserahkan kepada para petugas bagi kegunaan mereka sepanjang berlangsung proses pemberian vaksin di situ.

Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Primer Daerah, John Party Duat menerima sumbangan itu sambil disaksikan oleh Pegawai Tadbir (SAO) Daerah Saratok, Odeliny Migas, SAO Hajijah Dahlan, Penolong tadbir Cik Suzie Jegai dan Penghulu Lim Kheng Huat.

Lim selaku penaja sumbangan itu berharap agar para petugas terus bersemangat menunaikan tanggungjawab mereka untuk rakyat yang hadir bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di situ.

“Pengorbanan yang diberi oleh para petugas di PPV Dewan Sri Krian adalah sangat besar kerana tanpa mereka maka adalah sukar untuk kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

“Justeru saya berharap agar ada pihak lain tampil untuk menghulur sumbangan sebegitu demi menaikkan semangat petugas PPV Dewan Sri Krian dalam menjayakan PICK di sini hingga Ogos kelak,” kata beliau.

Oleh VALENTINE NGUMBANG