Seminggu lagi pentas Liga M bersambung

LEBIH kurang seminggu sahaja lagi pentas Liga M pusingan kedua akan kembali bersambung selepas ‘berehat’ lebih dua bulan.

KIRA-kira seminggu sahaja lagi pentas Liga Malaysia (Liga M) pusingan kedua akan kembali bersambung selepas ‘berehat’ lebih dua bulan.

Walaupun negara masih lagi berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kehangatannya tetap dirasa khususnya buat penyokong pasukan bertanding.

Sekali pun tumpuan lebih menjurus kepada Liga Super, saingan Liga Premier juga tidak kurang hebat terutamanya selepas menyaksikan beberapa transaksi pemain baru pada jendela perpindahan kedua sebelum ini.

Ketika pusingan pertama saingan lebih menjurus kepada dua pasukan teratas, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan, bagaimana pula aksi yang bakal dihidangkan pada kali ini.

Berikut antara perkara tumpuan pilihan yang mungkin mahu disaksikan sepanjang pusingan kedua nanti.

Selepas ‘berehat’ untuk tempoh lebih dua bulan, persoalannya sejauh mana keadaan pemain untuk mengharungi baki saingan musim ini. Persoalan untuk dijawab oleh pemain pastinya persediaan mereka, adakah sudah bersedia untuk kembali berentap atau pun sebaliknya.

Setiap pengurusan sudah pun melunaskan apa yang dimahukan pasukan khususnya dalam mendapatkan pemain baharu. Selepas jendela perpindahan ditutup hujung Mei lalu, kini seluruh mata penyokong setiap pasukan pasti tertumpu kepada pemain baharu, sejauh mana kehadiran mereka mampu beri kesan positif.

Beberapa pasukan seperti Kelantan United, PDRM dan Negeri Sembilan telah mendapatkan khidmat pemain baharu, jadi menarik untuk disaksikan betapa cepatnya mereka menyesuaikan diri dengan pasukan baharu.

Sepanjang pusingan pertama, tidak boleh dinafikan terdapat beberapa pemain berjaya menonjolkan diri beraksi dengan cukup cemerlang hingga menjadi buah mulut penyokong.

Namun selepas berehat lama, adakah prestasi itu mampu dikekalkan atau pun pusingan kedua bakal jadi detik kejatuhan?

Di carta penjaring gol, penyerang Terengganu II sedang mendahului dengan 11 gol, diikuti Uche Agba (Sarawak United) dan Fernando Rodriguez (JDT II) dengan lapan gol, serta George Attram (Selangor 2) dan Alain Akono (Negeri Sembilan) dengan tujuh dan enam gol.

Penyerang muda FAM-MSN Azhad Harraz Arman wajar diberi perhatian walaupun pasukannya menjadi ‘lauk’ pasukan lain, selepas mencatat empat gol.

Saingan pusingan pertama lebih tertumpu kepada dua pasukan ini yang saling mengasak untuk menghuni tangga pertama.

Untuk realisasikan misi ke Liga Super musim depan, sudah pasti kedua-duanya bakal kembali dengan ‘X Factor’ bagi memastikan tiada pencabar lain mampu merampas kedudukan terkini.

Sarawak United FC mendahului liga dengan 23 mata, dengan Negeri Sembilan mengekori hanya satu mata di belakang.

Terengganu II tidak jauh di tempat ketiga dengan 19 mata.

Oleh ADI SAFARMAN