19 PIBG terima cek MRP

PENYAMPAIAN… Datuk Julaihi Narawi menyampaikan simbolik cek MRP kepada salah seorang penerima.

SEBUYAU: Sebanyak 19 Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di sini, Jumaat lalu.

Menerusi hantaran Facebook Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, sebanyak 50 jawatankuasa tempatan di sini turut menerima cek geran suku tahun pertama 2021 bagi memudahkan urusan mereka menjalankan pelbagai program yang dirancangkan. 

Katanya, setiap PIBG sekolah rendah akan menerima geran sebanyak RM10,000 manakala PIBG sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau bakal menerima sejumlah RM30,000. 

“Majlis Guru Besar Zon Sebuyau dan Zon Sebangan merupakan antara penerima geran selain jawatankuasa persatuan silat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau.

Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Berahim Lumpu,  Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sebuyau, Ajis Ahmad, Pemanca, Asli Yahya dan Penghulu, Abu Seman Suhaili.

Oleh SYAMIMI HUSNA