Larangan guna surat MITI

LAWATAN… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ( tiga, kanan) melihat proses suntikan vaksin Covid-19 ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Daerah dan Tanah, Bandar Seri Jempol, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim Shariff (dua, kanan). • Foto BERNAMA

JEMPOL: Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula semalam diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu terbukti berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lepas sehingga mencetuskan 36 kluster Covid-19.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti semalam (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja. 

“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol semalam.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam semalam berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembinaan hospital medan.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kementerian itu bersedia membina empat lagi hospital medan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Katanya, setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan. — Bernama