PLF tingkat tahap literasi warga pedalaman

SITI menunjukkan demonstrasi aktiviti kraf tangan kepada peserta PLF secara maya.

Peranan setiap pihak dalam mengurangkan penularan virus Covid-19 sangat diperlukan ketika negara yang kini sedang bergelut dengan wabak Covid-19.

JusteruJabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Marudi telah menyahut cabaran itu dalam menjalankan peranan atau tanggungjawab mereka dengan  membuat Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR).

Salah satu program anjuran KEMAS iaitu Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) antara progam yang melaksanakan PdPR.

Program PLF merupakan satu program Pendidikan tidak formal yang memberi peluang kepada warga dewasa, belia-beliawanis dan remaja yang tercicir daripada pendidikan formal untuk mendapatkan bimbingan asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).

Menurut Guru  PLF, Siti Salmah Abdullah program membasmi buta huruf ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi di luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

 Asas pendidikan ini menurut Siti, mampu meningkatkan kualiti hidup di pedalaman dan dapat mengelakkan sebarang penindasan berlaku.

Tegasnya sebanyak enam buah kampung yang telah mendaftar dalam program PLF dengan senarai keseluruhan peserta berjumlah 68 orang dengan kekuatan tiga tenaga pengajar iaitu Puan Siti Slamah sendiri, Puan Rita Sultan Binti Abdullah dan Puan Rosmawati Peterus.

“Kelas PLF Kampung Pemindahan (12 orang), Kelas PLF Rumah Pree Anak Randie  Sungai Sengkabang Bukit (6 orang) dan Kelas PLF Rumah Michael Salengkor , Sungai Brit (10 orang) merupakan kelas seliaan  Rita Sultan dan Kelas PLF Rumah Anja Sungai Selijau (15 orang) dan Rumah Kier Sungai Selijau (15 orang) pula di bawah seliaan Rosmawati Peterus,” jelas Siti.

Katanya, terdapat 20 peserta dan dua kelas yang dijalankan di bawah seliaan  Siti Salmah  Abdullah.

Kelas tersebut beralamat di Kampung Dagang Marudi dan menurut beliau kelas 3M  dijalankan setiap dua kali seminggu, manakala kelas Kemahiran dijalankan setiap satu kali sebulan.

“Sepanjang PdPR dijalankan, keadaan pembelajaran agak sukar dari sebelumnya kerana kelas buta huruf bagi masyarakat dewasa memerlukan pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka untuk memastikan didikan disampaikan dengan baik dan berkesan,” dedah  Siti.

Dalam pada itu ujarnya cabaran dalam melaksanakan PdPR tidak mematahkan semangat untuk meneruskan sesi pengajaran dan belajar.

PdPR bagi kelas seliaan Siti dilaksanakan dengan cara agihan lembaran kerja kepada peserta dan akan diserahkan kembali pada sekian tarikh yang ditetapkan.

Selain dengan cara tersebut,  Siti juga akan menerangkan kepada peserta melalui rakaman video yang mana komunikasi secara dalam talian juga dilaksanakan melalui aplikasi WhatsApp bagi sebarang kesulitan dalam melaksanakan tugas.

Menurut Siti, setiap peserta akan membuat rakaman video sewaktu membuat tugasan sebagai bukti tugasan tersebut dibuat atas usaha sendiri.

Bagi kelas kraf tangan pula,  Siti melakukan demonstrasi kepada para peserta melalui rakaman video di mana para peserta akan mengikut tunjuk ajar daripada video demonstrasi berkenaan.

Aktiviti kraf tangan ini  memberi manfaat kepada para peserta pada musim PKP ini untuk mengisi masa lapang dan mampu melepaskan tekanan para peserta.

“ Sepanjang tempoh PdPR ini sangat mencabar. Bagaimanapun sasaran prestasi adalah memuaskan dan tercapai atas sokongan Pemangku Pegawai KEMAS Daerah Marudi Hamisah  Sadi dan Sharifah Azar sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Pembangunan Masyarakat,” jelas Siti kepada Utusan Sarawak.

Oleh JIKU JUGUONG