Lonjakan permintaan sarung tangan getah tingkatkan eksport produk getah

DIANGGAR MENINGKAT SEBANYAK 80 PERATUS… Eksport produk getah Malaysia mencecah RM74 bilion tahun ini daripada RM41 bilion tahun lepas. Sarung tangan getah dijangka menguasai lebih 90 peratus daripada jumlah eksport negara untuk produk getah.

GEORGE TOWN: Eksport produk getah Malaysia dianggar meningkat sebanyak 80 peratus untuk mencecah RM74 bilion tahun ini daripada RM41 bilion tahun lepas, dirangsang oleh lonjakan dalam permintaan terhadap sarung tangan getah.

Sarung tangan getah dijangka menguasai lebih 90 peratus daripada jumlah eksport negara untuk produk getah, demikian menurut jurucakap Lembaga Getah Malaysia.

“Kegiatan ekonomi global yang semakin baik telah mencerahkan prospek permintaan terhadap getah asli. Penggunaan global getah asli diunjur berkembang 6.7 peratus kepada 13.7 juta tan pada tahun 2021 selepas menyusut 7.8 peratus pada tahun 2020.

“Penggunaan di pasaran utama seperti China dan Amerika Syarikat turut menunjukkan peningkatan positif, didorong oleh pembukaan semula operasi perniagaan susulan program pemberian vaksin untuk memerangi Covid-19,” katanya kepada Bernama menerusi emel.

Bagaimanapun beliau menambah, dengan kemunculan semula kes Covid-19 di Malaysia yang menjuruskan kepada pelaksanaan kawalan pergerakan, pengurangan tenaga kerja dan pelbagai langkah kawalan lain yang dikenakan oleh kerajaan akan menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan getah asli.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia dijangka meningkat sekitar 5.0 peratus kepada RM6.5 bilion berbanding RM6.2 bilion pada 2020, terutama disokong oleh harga getah yang lebih baik pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi trend pengeluaran getah tahun ini, ia diunjurkan mengukuh kepada 530,000 tan tahun ini daripada 514,700 tan pada tahun 2020 yang merupakan paras terendah dalam tempoh satu dekad.

– Bernama