Hospital Al-Wadi Mina sedia terima pesakit

HOSPITAL Al-Wadi Mina. • Foto AFP

Makkah: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan Hospital Al-Wadi Mina sudah bersiap sedia untuk menerima jemaah haji pada musim ini.

Ia berupaya memberikan semua perkhidmatan rawatan perubatan yang diperlukan kepada jemaah, dengan 145 katil disediakan.

Bahagian kecemasan hospital menempatkan 24 katil, enam katil di resusitasi kardiopulmonari, empat untuk kes disyaki penyakit pernafasan dan empat lagi bagi dialisis.

Jumlah katil diperuntukkan untuk rawatan intensif sebanyak 25 manakala 22 untuk kes tekanan haba.

Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan bekerjasama dengan Syarikat Telekomunikasi Saudi (STC) untuk mengirim lebih tiga juta SMS kepada jemaah haji tahun ini.

Saudi Press Agency melaporkan, melalui SMS itu, jemaah mengetahui maklumat mengenai panduan ibadah dan mempromosikan kesederhanaan dalam musim haji.

SMS itu merangkumi panduan haji dan umrah serta petunjuk mengenai tindakan pencegahan yang dilakukan pihak berkuasa untuk mencegah penyebaran koronavirus sepanjang musim haji tahun ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan kementerian dengan menggunakan teknologi moden pada tahun ini supaya jemaah dapat melakukan ibadah dengan mudah dan selamat.

Sementara itu, Ketua Umum Urusan Dua Masjid Suci sudah mengagihkan 12,000 payung pada Jumaat lalu kepada jemaah dan pekerja di Masjidilharam.

Ia sebagai sebahagian daripada inisiatif sebagai persiapan untuk musim haji tahun ini, lapor Saudi Press Agency.-Bernama